Penyedia Makanan Asrama SESTA Berdepan Larangan Beroperasi

IPOH – Penyedia makanan di asrama Sekolah Menengah Sains Tapah (SESTA) berdepan larangan beroperasi di mana-mana kantin sekolah di seluruh negara jika didapati cuai sehingga menyebabkan keracunan makanan dalam kalangan pelajar.

 

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata sebarang keputusan yang akan diambil hanya ditentukan selepas pihaknya menerima laporan siasatan kes keracunan itu termasuk ujian makmal.

 

“Kementerian Pendidikan telah menamatkan perkhidmatan pengusaha makanan di asrama itu serta-merta berikutan kes keracunan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Presiden MIC bersama pemimpin pertubuhan bukan kerajaan di sini malam tadi.

 

Pada Sabtu lepas, 43 pelajar dan seorang guru mengalami keracunan makanan dipercayai selepas makan roti jala dan kari ayam yang dihidangkan di dewan asrama sekolah itu untuk makan lewat malam.

 

Sehingga kini, 25 pelajar masih ditahan di Hospital Tapah bagi menerima rawatan lanjut.

 

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam sidang media sama berkata pihaknya telah menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang.

 

Sehubungan itu, Dr Subramaniam berkata kementerian telah menjalankan tindakan kawalan dan pencegahan; pengesanan kes; mengenal pasti punca dan pemeriksaan dapur asrama.

 

“Selain itu, kementerian juga telah mengambil sampel makanan, persekitaran serta klinikal dan memberi pendidikan kesihatan kepada warga sekolah,” katanya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.