Naib Ketua Pemuda PAN Didakwa 20 April Ini

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin bakal didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan, ekoran penerbitan sebuah artikel yang mengaitkan namanya.

 

Dia yang dibebaskan hari ini selepas direman dua hari berkata, pendakwaan akan dilakukan pada 20 April ini di Mahkamah Majistret Wangsa Maju.

 

“Mengikut kertas pertuduhan, saya disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan (kerana cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen).

 

“Saya juga diminta hadir ke Mahkamah Majistret Wangsa Maju pada jam lapan pagi, 20 April ini untuk didakwa di bawah kedua-dua akta tersebut,” katanya kepada FMT.

 

Shazni Munir direman selama dua hari di Pusat Tahanan Lokap Jinjang di bawah Akta Hasutan, ekoran kenyataan yang dikaitkan dengannya dalam sebuah berita bertajuk ‘Kerajaan BN hanya boleh ditumpaskan dengan rusuhan besar-besaran – PAN’ yang disiarkan blog, Bicara news.

 

Beliau ditahan selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri KHalid Abu Bakar melalui akaun twitternya pada 1 April lalu, memuatnaik keratan berita tersebut dan mengarahkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) dan Unit Siasatan Khas D5 PDRM mengambil tindakan terhadap Shazni.

 

Menerusi satu kenyataan selepas dibebaskan, Shazni Munir berkata, sebaik dibebaskan tengahari tadi, dia mendapat khabar duka apabila neneknya meninggal dunia pada sebelah pagi.

 

Dia juga sekali lagi menegaskan laporan tersebut telah dimanipulasi daripada artikel asal yang diterbitkan FMT 31 Mac lalu, bertajuk ‘Setahun GST: Kita makin senang atau susah?’.

 

“Setelah saya jelaskan (perkara itu), pihak berkuasa mahu siasat kedua-duanya. Saya tiada masalah kerana tiada apa yang perlu saya sembunyikan. Saya bertanggungjawab penuh atas kesemua tulisan saya.

 

“Inilah sahaja ‘senjata’ yang saya punyai untuk melawan sebuah kerajaan yang rosak,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.