MP PAS Mahu Kerajaan Benarkan Kanak-Kanak Berkahwin, Elak Seks Bebas

KUALA LUMPUR – Seorang ahli parlimen PAS hari ini mencadangkan bahawa kanak-kanak di bawah umur dibenarkan berkahwin untuk mengelakkan hubungan seks bebas dan di luar nikah oleh remaja yang “berkeinginan”.

 

Dalam satu perbahasan tentang umur perkahwinan ― 18 tahun bagi rakyat Malaysia, 16 untuk gadis Muslim ― ahli parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Mazian Nik Mohamad, berkata bahawa hubungan seks antara remaja tidak dapat dibendung jika perkahwinan kanak-kanak dilarang.

 

“Kalau kita menyekat mereka daripada berkahwin, keinginan ini ada juga, jadi mereka akan terdedah melakukan seks secara bebas dan luar nikah,” kata beliau dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

 

“Apa pendapat Kulai, adakah setuju kanak-kanak itu ada hubungan seks tanpa perkahwinan?” soal beliau kepada ahli parlimen Kulai Teo Nie Ching.

 

Teo kemudiannya menjelaskan bahawa hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur merupakan jenayah rogol statutori, dan tidak sepatutnya dikambus dengan pernikahan.

 

“Bagaimana boleh kita benarkan anak-anak kita kahwini perogol?” soal beliau.

 

Sebelum itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim mendedahkan bahawa sebanyak 827 permohonan perkahwinan di bawah umur 16 tahun bagi masyarakat Islam direkodkan tahun lalu.

 

Beliau berkata Majlis Istiadat Sarawak pula merekodkan sebanyak 294 permohonan bagi tahun yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.