Ada Pihak Mahu Burukkan Nama Saya – Nazifuddin

PETALING JAYA – Anak Perdana Menteri, Mohd Nazifuddin Najib menyifatkan tindakan pihak tertentu mengaitkannya dengan dua syarikat luar persisir yang dinyatakan dalam dokumen ‘Panama Papers’ bertujuan memburukkan namanya.

 

Beliau berkata, tindakan pihak terbabit itu juga merupakan satu bentuk serangan terhadap hak privasi individu.

 

“Telah menjadi satu kebiasaan, di mana pihak-pihak tertentu akan mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu ini, seolah-olah saya telah melakukan satu kesalahan atau jenayah.

 

“Ia tidak menghairankan saya, jika ada pihak yang akan mempolitikkan perkara tersebut, dalam usaha untuk memburukkan nama saya,” tulisnya dalam laman sosial Facebook beliau semalam.

 

Jelasnya, beliau pernah memegang jawatan pengarah dalam dua syarikat berpangkalan di Kepulauan Virgin British, iaitu Jay Marriot International dan PCJ International Venture Limited yang ditubuhkan bersama firma guaman bertaraf antarabangsa, Mossack Fonseca.

 

Bagaimanapun, tegasnya, beliau tidak lagi terbabit dalam dua syarikat itu, kerana telah memindahkan semua saham miliknya dalam Jay Marriot kepada kakak Ch’ng Soon Sen yang merupakan pengarah syarikat itu, sebelum meletak jawatan pada 2011.

 

Manakala bagi PCJ International pula, syarikat itu ditutup setahun selepas penubuhannya pada 2013, kerana tiada urusan dan transaksi perniagaan yang dijalankan sepanjang tempoh itu.

 

Jelasnya, berdasarkan kenyataan Konsortioum Wartawan Penyiasat Antarabangsa (ICIJ), pembabitannya dalam syarikat-syarikat tersebut tidak bermaksud beliau telah melakukan kesalahan.

 

“Nama-nama lain turut disebut dalam isu ini, termasuklah Mirzan Mahathir (salah seorang anak bekas Perdana Menteri), bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik Zainal Abidin serta Michael Chia.

 

“Di samping itu, tokoh-tokoh antarabangsa seperti Lionel Messi, Jackie Chan dan bapa James Cameron juga disebut.

 

“Namun begitu, kita harus faham, tak semestinya nama seseorang itu disebut, maka dia telah disabit dengan apa-apa kesalahan,” tegasnya.

 

Susulan kebocoran dokumen kewangan ‘Panama Papers’ pada Ahad lalu, beberapa negara telah melancarkan siasatan ke atas ahli politik dan orang ternama yang cuba mengelak cukai melalui urusan kewangan luar pesisir.

 

Antara nama yang disebut dalam ‘Panama Papers’ ialah sekutu rapat Presiden Rusia, Vladimir Putin, saudara-mara Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.