Siasatan Nahas Helikopter Fokus Empat Faktor

KAULA LUMPUR – Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mencari punca helikopter Eurocopter Dauphin AS365N2 dinaiki Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terhempas hingga mengorbankan Ahli Parlimen Rompin itu bersama lima yang lain, kelmarin, tertumpu kepada empat kemungkinan.

 

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, empat kemungkinan itu ialah kecuaian manusia, cuaca buruk, sabotaj dan masalah teknikal.

 

“Siasatan PDRM akan fokus kepada punca ataupun sebab kejadian manakala Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pula akan membuat siasatan dari segi teknikal,” katanya yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

 

Menurutnya, sepasukan anggota penyiasat PDRM semalam masuk semula ke lokasi nahas untuk mencari dan mengumpul bahan bukti.

 

“Sehingga kini dua saksi kejadian sudah dirakamkan percakapan mereka. Polis juga akan menemu duga saksi lain yang tinggal di kawasan kejadian,” katanya sambil memberitahu setakat ini pihaknya membuka siasatan mengikut laporan kematian mengejut.

 

Dalam kejadian di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih, jam 4.55 petang itu, lima lagi yang terbunuh ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, Pengarah Urusan SP Baiduri Sdn Bhd Datuk Tan Huat Seang, juruterbang helikopter Kapten Clifford Fournier, pengawal peribadi Jamaluddin Lans Koperal Razakan B Seran dan penolong pegawai operasi Aidana Baizieva.

 

Jamaluddin yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA menaiki helikopter berkenaan dari Kuantan ke Subang selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan, Pahang.

 

Pengarah Operasi Penerbangan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) Datuk Yahya Abdul Rahman pula berkata, wakil DCA akan ditempatkan di lokasi setiap hari sehingga proses siasatan selesai.

 

“Hari ini (semalam), tiga wakil DCA dan dua pegawai Kementerian Pengangkutan sudah masuk ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

 

“Berdasarkan tinjauan dari udara, tiada tanda menunjukkan helikopter berkenaan melanggar apa-apa objek kerana ia terbang pada ketinggian 500 meter dari aras laut,” katanya ketika ditemui di lokasi nahas.

 

Beliau menjangka laporan awal nahas itu akan diketahui dalam tempoh tujuh hari selepas siasatan terperinci selesai dijalankan.

 

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, belum ada pengesahan berlaku letupan di udara sebelum helikopter berkenaan terhempas, biarpun ada saksi mengatakan terdengar bunyi letupan kuat dan ternampak badan pesawat berkecai.

 

Beliau berkata, siasatan awal masih berjalan dan selagi siasatan belum selesai, khabar angin mengenai letupan itu dianggap tidak benar.

 

“Tidak ada sebarang maklumat lain (mengenai letupan), siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan,” katanya yang ditemui ketika memberi penghormatan terakhir di kediaman Jamaluddin di Seri Kembangan, dekat sini, semalam.

 

Menurutnya, ‘kotak hitam’ di dalam pesawat berkenaan akan memberi petunjuk penting mengenai apa yang sebenarnya berlaku.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, kotak hitam pesawat berkenaan ditemui dalam keadaan baik di sekitar lokasi nahas kira-kira jam 11.30 pagi, semalam. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.