Saksi Nahas Helikopter Sudah Beri Kenyataan

KUALA LUMPUR – Seorang saksi udara nahas helikopter 9M-IGB memaklumkan dia sudahpun memberikan kenyataannya kepada pihak penyiasat bagi membantu mengenal pasti punca sebenar kejadian.

 

Saksi berkenaan, Kapten T.G. Lee juga berharap, kenyataannya dapat membantu pihak berkuasa merungkai misteri di sebalik tragedi itu.

 

Pada masa sama, katanya dia tidak pernah patah semangat untuk kembali terbang, walaupun menjadi saksi kepada nahas yang mengorbankan enam nyawa, termasuk kenalannya sendiri Kapten Cliff Fournier.

 

Mengimbas apa yang disaksikan, katanya helikopter 9M-IGB itu masih kelihatan utuh ketika ia menjunam menyembah bumi.

 

Jelasnya helikopter itu berada sekitar enam batu nautika daripada helikopter yang dikemudinya ketika ia terjunam.

 

Sewaktu kejadian, Kapten Lee sedang dalam perjalanan dari Senai, Johor menuju ke Subang di Selangor.

 

Sebaik melihat kejadian, dia melaporkan mengenai nahas berkenaan kepada Pusat Kawalan Udara di Subang.

 

Dia juga kembali ke ruang udara lokasi nahas selepas menurunkan penumpangnya, untuk merekodkan kedudukan tepat pesawat malang terbabit dan data itu sudah diserahkan kepada pihak berkuasa.

 

Nahas udara membabitkan helikopter 9M – IGB pada 4 April lalu telah meragut nyawa anggota Parlimen Rompin yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias serta empat yang lain.

 

Dalam kejadian pada 4.55 petang itu helikopter jenis AS3655N2 Dauphin itu  terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.