Pemimpin PAS Yakin Jangka Hayat PasMa Tak Lama

KUALA TERENGGANU – Jangka hayat Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dijangka tidak bertahan lama sekiranya NGO itu mewujudkan parti baharu.

 

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman dalam nada sinis mengalu-alukan penubuhan parti baharu Pasma, turut menyifatkan tindakan itu akan hanya menyebabkan Pasma berdepan risiko cepat mati.

 

Menurutnya, keadaan itu mungkin berlaku terhadap Pasma jika NGO itu benar-benar menubuhkan parti baharu berdasarkan keadaan parti serpihan Pas sebelum ini yang tidak mampu bertahan lama dalam politik negara.

 

“Kita setuju kerana kalau tubuh parti baharu, cepat mati (tidak bertahan lama) dan kita yakin kerana parti sebelum inipun sudah mati (bubar).

 

“Perkara ini dilihat berdasarkan sejarah parti serpihan Pas seperti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dan Angkatan Keadilan Islam Malaysia (Akim) yang telahpun tiada,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

 

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, ahli Pasma yang masih menganggotai Pas dialu-alukan untuk meninggalkan parti itu sekiranya NGO berkenaan ingin membentuk sebuah parti baharu.

 

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, walaupun Pasma bukan ancaman kepada Pas, tetapi adalah lebih baik sekiranya mereka meninggalkan Pas dan bawa haluan sendiri.

 

Dalam kenyataan terdahulu, Presiden Pasma, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk mengubah statusnya kepada sebuah parti politik berikutan kemelut dalam PR semakin kritikal.

 

Mengulas lanjut, Ariffin yang juga Adun Alor Limbat turut melihat tindakan Pasma untuk menubuhkan parti lain adalah lebih baik berbanding mewujudkan suasana tidak harmoni dalam parti memandangkan ahli Pasma kebanyakan terdiri daripada ahli Pas.

 

Pasma sering kali mengkritik kepimpinan parti secara terbuka dan menggunakan nama NGO sebagai alasan untuk bertindak sedemikian yang disifatkan segelintir pemimpin Pas bahawa tindakan itu di luar adab berjemaah.

 

“Insya-Allah (kalau Pasma tubuh parti baharu), selesai masalah. Serah kepada Pasma (untuk tubuh parti baharu atau tidak),” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.