Nik Abduh Akui Berbaik Dengan Umno Amanat Terakhir Nik Aziz

Kuala Lumpur – Ahli Jawatankuasa pusat PAS, Nik Mohamad Abduh hari ini mengakui turut menerima amanat daripada bapanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya mewujudkan hubungan baik dengan Umno bagi memudahkan pelaksanaan hudud.

 

Nik Abduh berkata, sebelum meninggal dunia, allahyarham berpesan kepadanya bahawa kerjasama dapat dilakukan antara PAS dengan Umno dalam usaha memartabatkan agenda Islam.

 

Bagiamanapun, tegas ahli Parlimen Pasir Mas itu kerjasama tersebut bukan dalam semua isu.

 

“Ayah pun sebut begitu tetapi jangan salah faham ini bukan kerjasama PAS dengan Umno dalam semua isu.

 

“Saya akui ayah cakap sendiri di depan saya bahawa untuk melaksanakan hudud dan apa-apa agenda Islam kita boleh bersama dengan Umno demi membawa agenda Islam lebih baik.” kata Nik Abduh lapor Utusan Malaysia.

 

Justeru, katanya, tidak mustahil bapanya turut menyampaikan amanat sama kepada Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

 

Merujuk ucapan Mohd Amar dalam satu majlis ceramah penjelasan isu hudud yang diadakan pada 1 April lalu di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan ahli PAS diingatkan agar tidak mengkritik Umno kerana parti Melayu itu merupakan pihak yang perlu berurusan bagi membolehkan hasrat kerajaan negeri tercapai.

 

Malah, Mohd Amar dilaporkan berkata Nik Aziz meminta beliau dan ahli PAS menjalinkan hubungan baik dengan Umno serta tidak mengkritik parti itu.

 

Ini kerana pihaknya perlu berurusan dengan Umno mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan.

 

Bagaimanapun, Mohd Amar tampil menafikan laporan tersebut dan berkata berita itu “tidak tepat, berniat jahat dan berunsur fitnah.”

 

“Merujuk tajuk dan laporan Berita Harian Jumaat 3 April 2015 yang memetik kenyataan saya berkenaan ‘amanah Tok Guru Nik Aziz’.

 

“Dukacita dimaklumkan laporan akhbar tersebut adalah tidak tepat, berniat jahat dan berunsur fitnah,” katanya dalam satu posting di laman Facebook miliknya.

 

Kerajaan negeri Kelantan bulan lalu meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (2015) yang mendapat sokongan sebulat suara semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk dari Umno dan PKR.

 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membolehkan kerajaan negeri Kelantan melaksanakan peraturan syariah itu.

 

Sekiranya pindaan akta itu diluluskan dengan mendapat sokongan majoriti mudah ahli Parlimen, Kelantan sudah boleh melaksanakan 4 daripada 6 peraturan syariah yang dicadangkan.

 

Kerajaan negeri PAS Kelantan kini berpatah arang, berkerat rotan apabila menjadi sasaran kritikan rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PKR yang berkeras membantah pelaksanaan hukum itu meskipun ia tidak melibatkan bukan Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.