‘Kita Semua Ada Nombor Giliran Ajal’ – Allahyarham Jamaluddin Jarjis

SERI KEMBANGAN – “Ajal di tangan Tuhan. Kita semua ada nombor, tunggu giliran masa sahaja.”

 

Itu nasihat Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis kepada kakitangan Perbadanan PR1MA Malaysia dalam satu majlis doa selamat yang diadakan di pejabat PR1MA di Petaling Jaya, minggu lalu.

 

Menurut seorang kakitangan PR1MA yang enggan dikenali, Jamaluddin yang merupakan Pengerusi PR1MA turut mengingatkan kakitangannya supaya menjaga kesihatan dan memastikan membuat pemeriksaan kesihatan tahunan.

 

“Beliau juga minta pekerja semak supaya polisi insurans masing-masing teratur dan dikemas kini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

 

Jamaluddin bersama-sama lima yang lain terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, kelmarin, selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang.

 

Semalam, lebih 400 sanak saudara dan rakan Allahyarham hadir memberi penghormatan terakhir di kediaman Allahyarham, di sini.

 

Meskipun suasana pilu, tetamu yang hadir sejak pagi bagi melihat jenazah serta menziarahi keluarga Allahyarham berada dalam keadaan tenang.

 

Antara tetamu kenamaan yang paling awal tiba ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba kira-kira jam 11.10 pagi manakala Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada jam 12.20 tengahari.

 

Turut hadir mengiringi Najib ialah anak perempuan beliau, Nooryana Najwa serta suaminya, Daniyar Kessikbayev.

 

Kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham dari Masjid Taman TAR, Ampang kemudiannya tiba di kediaman pada jam 12.35 tengahari.

 

Najib meluangkan masa kira-kira sejam di rumah Allahyarham sebelum ke rumah seorang lagi mangsa nahas yang juga Ketua Setiausaha Sulitnya, Datuk Azlin Alias.

 

Antara menteri yang turut hadir di kediaman Jamaluddin ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

 

Kira-kira jam 2.50 petang, jenazah kemudiannya dibawa menaiki van dengan diiringi isteri Allahyarham, Puan Sri Dr Kalsom Ismail dan anak-anak ke Masjid Negara untuk disembahyangkan sekali lagi sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.