Kehilangan Jamaludin Jarjis Dirasai Penduduk

ROMPIN – Kematian Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis amat dirasai penduduk di kawasan Parlimen ini berikutan sikap beliau yang mudah didekati dan sentiasa mengambil berat tentang permasalahan serta keperluan mereka sepanjang menjadi wakil rakyat di situ.

 

Kehilangan pemimpin berwibawa itu lebih dirasakan penduduk apabila banyak sumbangan dan pembangunan dibawa oleh Allahyarham, selain mempunyai pelbagai agenda demi kesejahteraan rakyat yang belum dilaksanakan.

 

Mohammad Razak Daud, 53, dari Kuala Rompin di sini berkata, pemergian Jamaludin yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor semalam memberi kesan mendalam kepada dirinya dan penduduk.

 

“Pada mulanya saya seperti tidak percaya apabila mendapat berita awal tentang nahas helikopter itu. Pada masa sama, penduduk kampung menghubungi saya untuk mendapatkan kesahihannya sebelum mendapatkan kepastian malam tadi.

 

“Allahyarham banyak membawa kemajuan di kampung ini terma­suk cadangan untuk membina jeti pelancongan di Kuala Rompin. Beliau menyuruh saya membuat cadangan tersebut,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung (JKKK) Kuala Rompin itu ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Pengerusi Toa Peikong Rompin, Sea Ho @ Tan Sheng Chin memberitahu, keprihatinan Jamaludin terhadap keperluan penduduk tanpa mengira agama yang dibuktikan beliau dengan pemberian dana untuk membina taman didikan kanak-kanak (tadika) swasta yang terletak di dalam tokong itu.

 

Sebelum itu, katanya, tadika tersebut beroperasi di dalam sebuah rumah papan yang uzur, namun Jamaludin mengarahkan pembinaan sebuah tadika baharu selepas mendapat maklumat tentangnya.

 

“Beliau berjanji mencari peruntukan sendiri untuk membina tadika tersebut. Akhirnya berjaya disiapkan tetapi hasrat kami supaya beliau merasmikan sendiri tadika itu tidak kesampaian,” katanya.

 

Pengerusi JKKK Kampung Tekek, Zurkarnaini A. Hamid pula berkata, Allahyarham Jamaludin banyak membawa pembangunan di Tioman termasuk di kampung berkenaan.

 

“Segala cadangan penduduk Tekek diambil berat oleh Allahyarham. Salah satu projek yang dibawa beliau ialah pembinaan rumah murah. Sebanyak 116 rumah murah kini hampir siap hasil usaha beliau bagi membolehkan penduduk Pulau Tioman memiliki rumah sendiri,”ujarnya.

 

Dalam pada itu, rata-rata penduduk di Parlimen ini masih terkejut dengan berita kematian Jamaludin dan lima yang lain apabila helikopter AS365N2 Dauphin yang mereka naiki terhempas dan terbakar di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih semalam.

 

Abdul Karim Abdullah, 35, dari Bukit Ibam berkata, dia seakan tidak percaya selepas mendapat berita tentang kemalangan tersebut tetapi menerima hakikat dan menganggap bahawa Tuhan lebih sayangkan Allahyarham dan menjemputnya awal.

 

“Kita yang masih hidup ini perlulah berdoa yang terbaik untuk Allahyarham supaya arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

 

Bekas Penghulu Pulau Tioman, Mohd. Nor Hidon mengimbas kembali kenangannya bersama Jamaludin yang mudah didekati dan mengambil berat masalah semua lapisan masyarakat ketika kejadian banjir kilat di kawasan itu pada 2013.

 

“Saya menghubungi pegawai beliau dan tidak lama kemudian Allahyarham sampai ke Pulau Tioman untuk memberi bantuan. Sebaik sahaja tiba, beliau terus menziarahi setiap rumah yang terlibat dengan banjir dan memberi bantuan segera kepada mangsa,”katanya.

 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Rompin, Rosman Sulong berkata, Jamaludin banyak memberi peluang kepada golo­ngan muda untuk menceburkan diri dalam politik.

 

“Malah beliau juga membawa masuk saya ke dalam politik bagi membolehkan masyarakat Orang Asli terus terbela. Beliau pernah berpesan pada saya, apabila sudah ada jawatan, gunakannya untuk menaikkan taraf Orang Asli. Awak orang muda, mesti berani suarakan pendapat kalau mahu melihat Orang Asli maju,”katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.