KAFA Intai Pemain Import Baru – Annuar Musa

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang meneliti beberapa pemain import baharu untuk dibawa masuk selepas prestasi hambar dipamerkan oleh pemain import sedia ada dalam pasukan itu.

 

Presidennya Tan Sri Annuar Musa, berkata pasukan itu memerlukan perubahan dari segi pemain import sekiranya Kelantan mahu terus mencabar kejuaraan pada musim ini.

 

“Kita sedang membawa beberapa lagi pemain import, hari itu kita sudah bawa dua pemain iaitu Gonzalo Bonafina dan Federico Fioramonti dari Argentina dan kita tidak puas hati.

 

“Dua lagi pemain sudah sampai iaitu pemain kebangsaan Benin, Adjai Moussa dan pemain kebangsaan Nigeria, Austin Amutu. Kita juga membuat jemputan kepada pemain dari Brazil dan Macedonia, mereka akan sampai (dalam masa terdekat),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, malam tadi.

 

Beliau berkata kedudukan pemain import sedia ada akan dinilai apabila pasukan Kelantan bertemu Sime Darby dalam saingan Piala FA, esok.

 

“Dalam minggu ini kita akan tengok perlawanan dengan Sime Darby untuk kita buat keputusan muktamad tentang kedudukan pemain import kita.

 

“Ini untuk memberi keadilan (untuk pemain import) dan selepas itu KAFA akan buat satu ketetapan, kalau keadaan memerlukan kita menukar (pemain import), kita tidak teragak-agak kerana kita mahu pasukan jadi kuat,” katanya.

 

Sebelum ini, jurulatih baharu Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah dilaporkan berkata pasukan itu perlu membuat rombakan barisan pemain import sedia ada bagi memantapkan lagi kesebelasan utama pasukan itu.

 

Jendela perpindahan pemain dibuka bermula April ini dan Kelantan kini memiliki empat pemain import iaitu Emmanuel Kenmogne dari Cameroon, Isaac Pupo dari Liberia, Jonathan McKain dari Australia dan Erwin Carillo dari Colombia.

 

Pada musim ini, Kelantan mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga Super selepas hanya mampu mencatatkan dua kemenangan dalam enam perlawanan dan kini berada pada kedudukan kelapan liga dengan tujuh mata.

 

Ketika ditanya adakah tiket perlawanan pasukan Kelantan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV di sini akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Annuar berkata tiket perlawanan akan dikenakan cukai berkenaan.

 

“Kalau kita nak serap CBP, kita pun sudah memang miskin kalau tidak bertambah miskin ditambah beli pemain baharu, kos lagi.

 

“Jadi kita tidak boleh bermurah hati dari segi itu (CBP) tetapi kalau ingin (harga) dinaikkan macam mana, astaka berapa dan terbuka berapa, anggota jawatankuasa (AJK) KAFA akan putuskan tetapi telahpun disahkan tiket ada CBP,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.