Johor DT Menang, Hodak Belum Puas

KETUA jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT), Bojan Hodak kurang berpuas hati dengan kejayaan anak-anak buahnya mengutip tiga mata berharga meskipun mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin.

 

Turun dengan misi memperbaiki kedudukan liga, juara bertahan itu bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pembukaan pasukan lawan pada minit ke-22 menerusi pemain import, Jerry Nelson Palacios Suazo.

 

Bagaimanapun, jaringan dua pemain negara, Mohd. Amri Yahyah (31) dan Safiq Rahim pada minit ke-56, menyelamatkan maruah skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu di hadapan penyokong sendiri, sekali gus menyaksikan mereka melonjak ke tangga keempat liga, terikat 11 mata bersama empat pasukan lain.

 

“Perlawanan dengan ATM amat sukar dan saya tidak berapa gembira dengan persembahan pemain saya malam ini (malam kelmarin).

 

“Kelemahan agak ketara di benteng pertahanan yang menyaksikan pasukan lawan berjaya mendapat gol daripada serangan pertama mereka.

 

“Apa pun ia kelemahan yang perlu kami perbaiki segera. Kami sepatutnya bermain dengan lebih baik pada perlawanan menentang ATM. Secara keseluruhannya, saya tetap gembira kerana kami dapat mengutip tiga mata penting,” jelas Hodak.

 

Pada perlawanan tersebut, Johor DT turut menurunkan dua pemain import baharu mereka, Patricio ‘Patito’ Rodriguez di jentera tengah dan penyerang, Alhaji Kamara yang masuk pada babak kedua.

 

Kehadiran kedua-dua pemain itu telah membawa perubahan dalam skuad Johor DT dengan Patito berjaya mencipta peluang buat pasukannya, manakala Kamara turut membuatkan pertahanan ATM bekerja keras menghalangnya.

 

“Patito bermain dengan baik kerana dia seorang pemain yang berkemahiran tinggi dan sering membuat hantaran yang mengelirukan lawan.

 

“Kamara pula masih dilihat bergelut mencari rentak dan dia memerlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan.

 

“Namun, kamu harus ingat, dia baru sahaja tiba di Johor dan masih belum dapat mengembalikan tahap kecergasannya, jadi kesungguhannya untuk turun beraksi harus diberi pujian,” tambah Hodak.

 

Jurulatih dari Croatia itu juga memuji persembahan Safiq dan Amri yang masing-masing baru saja pulih daripada kecederaan.

 

“Safiq baru bermain selepas tiga hari berehat, manakala Amri juga semakin mendapat rentak.

 

“Saya percaya kami mampu memperbaiki lagi gaya persembahan kami menjelang pertemuan dengan Lions XII minggu depan jika dua pemain ini mendapat semula prestasi sebenar mereka nanti,” ujar Hodak. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.