Cubaan Bekal Dadah Ke Penjara Digagalkan

KAJANG – Seorang lelaki ditahan selepas cuba menyeludup dadah jenis ganja melalui banduan yang mendapatkan rawatan di Hospital Kajang, petang Khamis lalu.

 

Dalam kejadian 4.45 petang itu, suspek berusia 27 tahun ditahan dihadapan sebuah bank di Jalan Tun Abdul Aziz, di sini.

 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, lelaki terbabit dipercayai bergiat aktif dalam penyeludupan dadah ke penjara Kajang sejak dua tahun lalu.

 

“Hasil pemeriksaan menemui dadah disyaki ganja berbentuk ketulan kapsul disembunyikan dibawah tempat duduk motosikal suspek.

 

“Malah, suspek dipercayai diupah untuk menghantar bekalan dadah melalui banduan yang mendapatkan pemeriksaan di hospital,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini, sebentar tadi.

 

Menurutnya, hasil siasatan suspek mengaku mendapat bekalan dadah dari seorang lelaki tempatan di Sungai Besi.

 

Beliau berkata, suspek juga mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes curi kenderaan dan memiliki barang curi.

 

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari dibawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.