Azmin Cuba Perlekeh Legasi Saya – Khalid Ibrahim

SHAH ALAM – ‘Terima kasih Datuk Menteri Besar Selangor beri respons walaupun lebih kepada cubaan untuk memperlekeh legasi saya.’

 

Demikian kenyataan terbaru bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dibuat melalui laman Facebooknya, hari ini.

 

Menurutnya, meskipun Mohamed Azmin Ali telah memberi respons kepada beberapa isu yang dibangkitkannya namun isu yang paling penting iaitu penstrukturan semula industri air tidak disentuh sama sekali.

 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Menteri Besar Selangor kerana memberi respons terhadap sesetengah isu yang saya bangkitkan meskipun jawapan beliau lebih kepada cubaan untuk memperlekeh legasi saya selaku mantan menteri besar. Apatah lagi isu yang sangat penting yakni penstrukturan semula industri air tidak disentuh sama sekali.

 

“Sesungguhnya, rakyat Selangor berhak mendapat penjelasan dan kepastian terutama tentang komitmen beliau dalam memuktamadkan segera penyusunan semula industri air pada kos keseluruhan tidak melebihi RM9.65 billion; langkah-langkah  mengambil alih Splash, satu-satunya syarikat konsesi yang masih berdegil dan penamatan serta-merta Perjanjian Penswastaan berat sebelah dengan semua syarikat konsesi,” katanya.

 

Sementara itu, Abdul khalid berkata, Azmin perlu tahu membezakan antara keberanian melulu dan kebijaksanaan terpimpin dalam membuat keputusan.

 

“Apa gunanya berani persis panglima perang sekiranya strategi dan teknik yang diguna pakai bakal menyebabkan kita menang satu pertempuran tapi kalah di dalam peperangan.

 

“Ambillah iktibar dan pengajaran daripada kisah nasib malang Pak Kaduk yang menang bersorak, kampung tergadai akibat kedunguan dan kejahilan beliau.

 

“Kelayakan, kredibiliti dan integriti seorang pemimpin bukan diukur atas neraca keberanian tetapi lebih bersandarkan keupayaan dan kebijaksanaan hakiki,” katanya.

 

Menyentuh soal Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang telah pun dibatalkan Azmin baru-baru ini, Abdul Khalid mengingatkan bahawa projek tersebut terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

 

“Sekiranya Datuk Menteri Besar terlupa atau terlepas pandang, saya ingatkan bahawa kerajaan negeri terikat dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bidang kuasa dan prerogatif bagi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sama ada di bawah senarai Persekutuan, negeri atau bersama.

 

“Amat jelas bahawa projek Kidex terletak di bawah bidang kuasa penuh Kerajaan Persekutuan memandangkan perkara-perkara berkaitan komunikasi dan pengangkutan serta kontrak Kerajaan Persekutuan termasuk dalam senarai persekutuan.

 

“Dalam pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, peranan Kerajaan Negeri tidak lebih daripada memberi nasihat dan tiada kuasa menolak projek Kerajaan Persekutuan. Malah, walaupun sebarang perkara berkaitan tanah di bawah senarai negeri, perancangan pembangunan bandar dan desa masih tertakluk di bawah senarai bersama,” katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau melahirkan kebimbangan Selangor akan terdedah dengan implikasi perundangan dan kewangan susulan pembatalan  yang diragui kesahihannya itu pada 16 Februari lalu.

 

“Meskipun Kidex tidak termasuk dalam draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 dan pelan rancangan tempatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya yakni hujah Seksyen 18 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 mungkin boleh dipertimbangkan, saya amat khuatir akan keterdedahan Kerajaan Negeri kepada implikasi perundangan dan kewangan akibat pengumuman pembatalan pada 16 Februari 2015 kerana saya difahamkan Kerajaan Persekutuan sedang meneliti semua aspek berkaitan bersama Jabatan Peguam Negara.

 

“Sebenarnya, pengumuman pembatalan projek ini aneh dan diragui kesahihannya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri kerana ia tidak terlibat langsung dalam perjanjian konsesi yang ditandatangani di antara syarikat konsesi dan Kerajaan Persekutuan pada 16 November 2013.

 

“Terdapat juga percanggahan hujah dalam alasan pembatalan di mana syarikat konsesi didakwa gagal memenuhi kesemua syarat yang ditetapkan dalam tempoh yang diberi sehingga 14 Februari 2015 sedangkan syarikat konsesi dan Kerajaan Persekutuan mendakwa sebaliknya. Berpandukan krisis Kidex, kita tidak dapat menolak kemungkinan pelabur swasta akan berfikir berulang kali sebelum membuat keputusan melabur di Selangor khususnya dalam pembinaan infrastruktur pengangkutan awam,” katanya.

 

Katanya, mengumumkan pembatalan memang kerja mudah namun kerajaan negeri perlu tampil dengan solusi alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang teruk.

 

“Memang mudah mengumumkan pembatalan, tidak kiralah sama ada pembatalan projek atau kelulusan pembangunan tetapi apakah solusi alternatif kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah dasar iaitu kesesakan lalu lintas teruk berdasarkan aduan rakyat di Lembah Kelang terutama di kawasan berkenaan?

 

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa keupayaan mencadangkan penyelesaian alternatif yang boleh dilaksanakan pada kos yang setimpal dan impak negatif minima merupakan ujian sebenar kewibawaan, kaliber dan nilai teras seorang pemimpin,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.