17 Militan Ditahan Rancang Serangan Di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia menerusi bahagian counter terrorismnya pada Ahad telah berjaya menahan 17 orang yang disyaki merancang melakukan keganasan di ibu negara.

 

Dalam satu catatan Twitter oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata,  dua daripada mereka baru pulang dari Syria.

 

Khalid turut mengucapkan tahniah ke atas kejayaan anggota polis itu.

 

Sementara itu ketika dihubungi oleh Astro AWANI, Khalid mengesahkan mengenai penahanan 17 individu terbabit dan memaklumkan satu kenyataan media mengenainya akan dikeluarkan hari ini.

 

Sebelum ini satu laporan menyebut Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM Bukit Aman mendapati ada rakyat Malaysia yang terlibat dengan IS dan hanya menunggu masa melakukan serangan.

 

Anggota IS Malaysia turut dikatakan merancang melakukan ancaman langsung untuk menyerang Malaysia seperti pengeboman pusat hiburan sebagai menghukum Malaysia atas tentangan yang diberikan terhadap mereka.

 

“Mereka anggap kita sebagai ancaman. Mula-mula mereka tuduh kita bidaan, kemudian menganggap kita sebagai musuh dan seterusnya menghalalkan darah kita,” kata Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism PDRM Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

 

Tambahnya rancangan serangan itu dikesan sejak April tahun lalu.

 

Sehingga kini dipercayai hampir 63 rakyat Malaysia berada di Syria bagi berjuang bersama kumpulan militan IS. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.