KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun 2023 seperti mana yang pernah dibimbangi sebelum ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan keyakinan itu berdasarkan takrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.
“Berdasarkan prestasi pertumbuhan ekonomi pada 2022 tahun ini kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sekitar 4.5 peratus malah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2023 sebanyak 4.4 peratus dan 4 peratus.
“Jangkaan ini adalah selari dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global yang diunjur lebih perlahan pada tahun ini.
“Berdasarkan statistik ini meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global saya ingin menegaskan bahawa Malaysia insyaallah tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun 2023
“Hal ini berdasarkan takrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Ahmad malah menegaskan, kerajaan akan terus mengutamakan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik dengan memudah cara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal.