Suami Isteri Ditahan Disyaki Terima Rasuah RM361,000

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang jurutera sebuah syarikat minyak dan isterinya kerana disyaki meminta serta menerima rasuah RM361,000 dalam projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Sipitang, Sabah, tiga tahun lepas.

Menurut sumber SPRM, pasangan terbabit masing-masing berusia 58 dan 49 tahun dan ditahan di rumah mereka di Shah Alam, Selangor jam 2 petang tadi.

“Suspek yang ketika itu merupakan pengurus kawalan kualiti dan analisis kualiti (QA&QC) dalam projek berkenaan disyaki meminta dan menerima rasuah daripada sub kontraktor sebagai upah melantik syarikat terabit bagi menjalankan kerja-kerja pengujian paip.

“Pembayaran tersebut dimasukkan ke akaun peribadi suspek dan akaun syarikat isterinya,” kata sumber itu kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata SPRM sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

“Setakat ini SPRM membuka dua kertas siasatan berhubung kes ini dan 12 rakaman pernyataan telah diambil daripada individu-individu berkaitan,” katanya.

Simi berkata kedua-dua suspek dijangka dibawa ke mahkamah di Putrajaya esok untuk permohonan reman.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.