Pokok Tumbang Di KLCC Sebab Akar Reput – DBKL

Pokok yang tumbang di Jalan Ampang pagi tadi adalah disebabkan pereputan pada bahagian akarnya yang tidak dapat dilihat secara fizikal dan berlaku di luar jangkaan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan hari ini berkata pereputan akar pokok itu menyebabkan pokok tidak stabil dan mudah tumbang.

Menurut kenyataan itu, pokok tersebut merupakan daripada spesies Hujan-hujan yang berusia lebih 130 tahun dengan ukur lilit 4.65 meter.

Pokok Hujan-hujan merupakan tanaman landskap di Jalan Ampang iaitu antara jalan terawal dibina di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu, pokok-pokok di Jalan Ampang diselenggara mengikut jadual sebanyak dua kali setahun dan pada tahun lepas ia dijalankan dari 1 hingga 30 April dan 11 hingga 27 Dis.

Kerja-kerja yang terlibat pada selenggaraan terakhir ialah penebangan tiga batang pokok, 70 cantasan dan kerja-kerja ‘crown reduction’ (pemangkasan silara) ke atas 19 pokok.

Menurut kenyataan itu lagi, DBKL telah melaksanakan penyelenggaraan dengan melantik arboris untuk membuat pemeriksaan pokok secara fizikal di sekitar ibu kota.

Hasil daripada laporan arboris itu, DBKL akan dapat mengenal pasti lokasi pokok yang berisiko bagi diambil tindakan.

Selain itu, DBKL juga sedang merangka Pelan Pengurusan Pokok Berisiko dengan memberi keutamaan di kawasan tepian jalan dengan melantik arboris untuk membuat pemeriksaan terperinci.

Hasil daripada pemeriksaan ini, arboris perlu mengemukakan cadangan pengurusan pokok yang perlu dilaksanakan sama ada dikekal, ditebang dengan membuat penggantian atau ditebang tanpa penggantian.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi tadi, seorang penunggang motosikal dan pemboncengnya cedera selepas motosikal mereka melanggar sebatang pokok tumbang di Jalan Ampang berhampiran Menara Berkembar Petronas, KLCC di Kuala Lumpur. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.