‘Datuk Seri’ Mengaku Tak Bersalah Cabul Pekerja

Seorang ahli perniagaan terkemuka bergelar ‘Datuk Seri’ didakwa di Mahkamah Majistret Labuan atas pertuduhan mencabul kehormatan pekerjanya pada 22 Dis tahun lepas.

Datuk Seri Peter Kong, 62, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu di Labuan hari ini.

Dia dakwa mencabul kehormatan wanita berusia 23 tahun itu di dalam restoran di sebuah hotel, kira-kira pukul 10 malam.

Kesalahan itu, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pegawai Pendakwa ASP Hasnan Abidin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Maijol Mahap.

Hasnan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM5,000 dengan dua orang penjamin, bagaimanapun, majistret membenarkan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mac untuk sebutan semula kes. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.