Buat Sebab Suka, Bukan Terdesak – Idayu

KUALA LUMPUR: Penyanyi Idayu menepis tanggapan sesetengah pihak kononnya dia terdesak dan sengaja meraih populariti mudah dengan berkongsi video meniru gaya nyanyian artis di YouTube.

Akur hakikat netizen bebas bersuara, Idayu sebaliknya mahu orang ramai faham tujuan dia berkongsi rakaman video itu.

“Apa yang saya buat adalah mahu meneroka dunia seni dan memenuhi permintaan peminat yang banyak memberi sokongan selama ini.

“Saya sudah lama teringin meniru suara artis… Sejak zaman belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) lagi.

“Malah, teman-teman rapat juga meminta saya mengetengahkan bakat ‘mimic’ (tiru suara artis) tetapi pada mulanya, saya kurang yakin,” katanya kepada BH Online.

Sejak beberapa hari lalu, video memaparkan Idayu meniru vokal artis antaranya Ziana Zain, Ning Baizura dan Dayang Nurfaizah termasuk artis antarabangsa seperti Shakira dan Celine Dion, pantas menjadi viral.

Bukan sekadar vokalis wanita, Idayu juga mampu meniru gaya penyanyi lelaki seperti Anuar Zain dalam video dikongsi.

Ramai pengikut Idayu terpesona dengan sebutan dan bunyi suara yang hampir sama dilontarkannya. Namun, tidak kurang juga yang mengecam juara program Akademi Fantasi (AF) Megastar ini.

Ada netizen menganggap aksi Idayu itu sebagai perbuatan ‘terdesak’ dalam menarik perhatian.

Tambah Idayu, selepas memenangi AF Megastar ditambah sokongan suami dan teman-teman rapat, dia menjadi lebih yakin untuk berkongsi kebolehannya melakukan ‘mimic’.

“Alhamdulillah, akhirnya usaha saya ini mendapat perhatian. Pengikut saya di laman sosial juga makin bertambah,” katanya.

Idayu mengaku teknik vokal ‘mimic’ sukar dilakukan kerana penyanyi perlu mendapatkan nada suara yang sesuai.

“Selain itu, penyanyi perlu ada sebutan tepat dan gaya selain menguasai teknik artis dalam mendendangkan lagu,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Idayu memberitahu, dia akan melancarkan single terbaharu berjudul Di Sini pada 16 Mac depan. Lagu itu akan menjadi runut bunyi drama bersiri Mona Lisa sebanyak 80 episod.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.