Saharul, Isteri Bakal Sambut Anak Sulung Jun Depan

KUALA LUMPUR: Teruja menanti kelahiran cahaya mata sulung yang dijangka Jun depan, Saharul Ridzwan dan isteri, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, memilih untuk tidak mengambil tahu soal jantina anak mereka.

Sekalipun imbasan dilakukan sudah menampakkan jantina bakal bayi mereka, pasangan terbabit sebaliknya inginkan elemen kejutan sewaktu menyambut kelahirannya.

Ketika ini, kandungan isteri pelakon Hati Perempuan itu sudah pun memasuki usia lima bulan.

“Ketika doktor melakukan proses imbasan lagi, dia sudah pun dapat melihat jantinanya. Namun tak mengapa, kami tidak mahu soal jantina menjadi penghalang kejutan. Sejujurnya, saya dan isteri tidak kisah pun mengenainya.

“Apa yang saya dan isteri harapkan, semoga bayi sulung kami nanti dilahirkan cukup sifat dan sempurna, insya-Allah. Kami berdua juga tidak sabar menunggu kehadiran si kecil yang pastinya menjadi penyeri keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Saharul, 28, turut berkongsi kemanisan mengerjakan umrah, Januari lalu, bersama isteri tersayang.

“Memang pergerakan isteri saya agak terbatas kerana hamil. Begitupun, saya nampak semangatnya kuat untuk melakukan ibadat dengan sempurna sepanjang kami di sana. Jika ada rezeki, kami teringin untuk menjejakkan lagi ke Tanah Suci,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saharul berkata, beliau bakal muncul dengan drama mini 12 episod berjudul Chor & Chah yang akan disiarkan di YouTube.

Turut berlakon dalam drama terbabit ialah Ummi Nazeera, Hafreez Adam dan Luqman Hafidz.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.