Produk Penjagaan Kulit Halal Dari Jepun Masuki Pasaran Malaysia

PETALING JAYA – Momohime, rangkaian barangan penjagaan kulit halal pertama di Jepun menembusi Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran pesat berkembang bagi industri kesihatan dan kecantikan.

Pengarah Urusan PBJ International Sdn Bhd, Umar Kobayashi berkata, jenama berkenaan adalah rangkaian produk pertama yang mendapat perakuan halal oleh Amanah Islam Jepun (JIT) yang mempunyai kerjasama strategik dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, rangkaian produk itu menggunakan buah pic sebagai bahan utama dan dijamin tidak mempunyai bahan daripada binatang, alkohol, bahan daripada minyak atau pewarna dalam proses pembuatannya yang turut mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

“Momohime dihasilkan menggunakan peralatan terkini dan dihasilkan mengikut piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP) di kilang yang mendapat pensijilan ISO 9001 di Jepun.

“Tumpuan produk adalah untuk menyediakan pilihan dan penyelesaian penjagaan kulit kepada wanita Islam di seluruh dunia. Sebelum menembusi pasaran Malaysia, Momohime turut dijual di Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk Islam yang besar,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Momohime, di sini.

Majlis pelancaran Momohime disaksikan Setiausaha Pertanian, Perhutanan, Perikanan dan Alam Sekitar Kedua di Kedutaan Jepun di Malaysia, Michiko Nishikawa serta Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Kuala Lumpur, Akira Kajita.

Umar berkata, Momohime turut dipromosikan di Rusia dan Turki dan kini boleh didapati di Indonesia dan Singapura melalui rangkaian beli-belah dalam talian dan rakan kongsi tempatan.

Beliau yakin penjualan rangkaian produk penjagaan kulit itu akan mendapat sambutan luar biasa memandangkan produk itu sesuai untuk pengguna bersandarkan kepada faktor cuaca.

Jenama itu terdiri daripada rangkaian asas penjagaan kulit yang dijual pada harga antara RM88 dan RM178. Ia hanya boleh didapati melalui pembelian dalam talian, Lazada dan akan dijual di cawangan runcit terpilih tidak lama lagi. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.