Korea Utara Lancar Peluru Berpandu Balistik

SEOUL: Korea Utara melancarkan empat peluru berpandu balistik ke timur semenanjung itu hari ini, dengan Jepun mendakwa tiga daripadanya mendarat di perairannya.

 

Pada bulan lalu Korea Utara melancarkan sebuah peluru, pelancaran pertama sejak Oktober, dikatakan Seoul menyasar menguji tindak balas daripada pentadbiran baharu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

 

Korea Selatan berkata, beberapa peluru berpandu dilepaskan ke Laut Timur, juga dikenali sebagai Laut Jepun dengan Seoul dan AS ‘menganalisis rapat’ data pengesanan untuk butiran lanjut.

 

“Dari segi jarak, ia sejauh 1,000 kilometer,” kata kenyataan Kementerian Pertahanan Korea Selatan. Seoul berkata, pasukan keselamatannya ‘memantau rapat tentera Korea Utara untuk provokasi lanjut dan mengekalkan kesediaan angkatannya.’

 

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata, Korea Utara melepaskan empat peluru berpandu ‘hampir serentak’, tiga daripadanya mendarat di Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) Jepun.

 

Sebagai tindak balas terhadap pelancaran itu, Pemangku Presiden Hwang Kyo-Ahn, mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Nasional (NSC), kata pejabat presiden.

 

Seoul dan Washington melancarkan latihan ketenteraan tahunan minggu lalu yang menaikkan kemarahan Pyongyang, mengecamnya sebagai latihan provokasi untuk menceroboh wilayahnya. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.