Debat Dengan Dr Zakir Naik Cabaran Bodoh, Kata Siti Kasim

KUALA LUMPUR – Peguam liberal yang sering mencetuskan kontroversi, Siti Kasim tidak berani berdebat dengan pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik dan cuba memberikan alasan kononnya ia satu cabaran yang bodoh.

Kenyataan itu dibuat selepas Zakir baru-baru ini menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan dua individu beragama Islam yang menyamannya di mahkamah Malaysia.

Siti dalam status terbaharu di Facebooknya mahu cabaran yang dianggap bodoh itu ditolak ketepi dan menggesa pihak berkenaan berhenti membuang masa beliau.

“Mari kita ketepikan cabaran bodoh perbahasan di antara saya dan Dr Zakir Naik.

“Jika orang-orang bodoh ini berfikir bahawa saya mengalami obsesi tidak rasional dan tidak produktif dengan apa yang orang lain fikir mengenai saya, maka mereka boleh kekal sebagai keldai selama-lamanya. Jadi, berhenti buang masa saya,” kata beliau.

Siti turut mendakwa, beliau kini menjadi sasaran dalam apa yang dianggap sebagai isu gender.

“Fakta bahawa beberapa ‘keldai’ memilih saya dan Asiah amat ketara sekali sebagai isu gender. Terdapat 19 orang sependapat dalam saman itu dan mereka hanya menyerang dua daripada kita.

“Paling penting dalam hal ini, orang-orang bodoh ini tidak sedar ada tindakan undang-undang sedang berlangsung. Mungkin MCP ini perlu menyemak makna sub judice,” katanya lagi.

Siti dan Asiah Jalil antara dua individu beragama Islam daripada 19 pihak menyaman sivil untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan pendakwah itu ancaman kepada keselamatan negara.

Sebelum ini Pegawai Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, pendakwah kontroversi dari India itu bersedia dengan cadangan beliau agar bertemu dengan Siti bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan.

Zakir kemudiaan membalas menerusi pesanan WhatsApp dengan menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan pihak yang menyamannya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.