Witthoeft Tembung Wozniacki Di Suku Akhir

Kuala Lumpur – Pemain muda dari Jerman, Carina Witthoeft dijangka berdepan cabaran getir, apabila bertemu pilihan utama dan pemain nombor lima dunia, Caroline Wozniacki pada suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2015, di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC).

 

Witthoeft, 20, yang kini menghuni ranking ke-81 dunia, melangkah ke suku akhir, selepas mengejutkan pemain Republik Czech, Klara Koukalova 7-6 dan 6-0, dalam pertarungan selama 90 minit, pada saingan perseorangan pusingan kedua, hari ini.

 

“Saya tidak pernah bertemu dengan Woziacki atau mana-mana pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia sebelum ini. Saya akan cuba memberi tekanan dan membuat pukulan agresif.

 

“Ini adalah strategi saya buat masa ini. Sekiranya saya tidak melakukannya, sudah pasti dia akan menewaskan saya. Harap saya dapat memperbaiki kemahiran saya, apabila menentang pemain Denmark itu,” katanya selepas perlawanan itu.

 

Wozniacki pula mengambil masa 75 minit untuk menempah slot ke suku akhir, dengan menundukkan pemain China, Wang Yafan 6-4 dan 6-1.

 

Dalam perlawanan lain, bekas juara 2012, Hsieh Su-Wei dari Taiwan turut mara ke peringkat suku akhir, selepas menyingkirkan pemain Jepun, Misa Eguchi dengan keputusan 6-3, 3-6 dan 6-0.

 

Hsieh yang kini menduduki ranking ke-101 dunia, akan bertemu Elizaveta Kulichkova, selepas pemain Rusia itu mengejutkan pemain Kazakhstan, Yulia Putintseva dengan keputusan 6-0 dan 6-2, semalam.

 

Dalam acara beregu, gandingan Ukraine, Yuliya Beygelzimer dan Olga Savchuk mengalahkan pasangan Poland, Magda Linette dan Katarzyna Piter dengan keputusan 6-3, 4-6, 10-5 pada perlawanan suku akhir.

 

Mereka akan berdepan gandingan Darija Jurak dari Croatia dan Klara Koukalova dari Republic Czech, dalam perlawanan separuh akhir, Sabtu ini.

 

Keputusan pusingan kedua perseorangan wanita:

Hsieh Su-Wei (TPE) mn Misa Eguchi (JPN) 6-3, 3-6, 6-0
Carina Witthoeft (GER) mn Klara Koukalova (CZE) 7-6 (3), 6-0
Caroline Wozniacki (DEN) mn Wang Yafan (CHN) 6-4, 6-1

 

Keputusan suku akhir beregu wanita:

Yuliya Beygelzimer/ Olga Savchuk (UKR) mn Magda Linette/ Katarzyna Piter (POL) 6-3, 4-6, 10-5.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.