Wajar Audit Akaun 1MDB Secara Telus – Muhyiddin

Kuala Lumpur – Pengauditan yang telus, bebas dan menyeluruh terhadap akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) penting untuk membersihkan nama syarikat dana pelaburan milik kerajaan itu daripada sebarang tuduhan penyelewengan dan salah laku.

 

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata audit forensik juga hendaklah dilaksanakan untuk menentukan tiada penyelewengan kewangan berlaku dalam urusniaga 1MDB seterusnya memulihkan reputasi dan mengembalikan keyakinan pelabur terhadap syarikat itu.

 

“Saya berpandangan Ketua Audit Negara wajar mengaudit akaun 1MDB secara telus, bebas dan menyeluruh dengan meneliti akaun 1MDB sejak awal penubuhannya.

 

“Ini kerana beberapa tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap dana pelaburan strategik itu adalah berhubung urusniaga yang dibuat sejak tahun 2009 yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit oleh firma Deloitte. Ini termasuk tuduhan berlakunya penyelewengan dalam usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Muhyiddin mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang mengarahkan Ketua Audit Negara untuk meneliti secara bebas akaun 1MDB.

 

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Rabu lalu, laporan Ketua Audit Negara itu kemudian akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

 

Kabinet sebelum itu telah memanggil 1MDB dan juru audit mereka, Deloitte berikutan laporan media baru-baru ini berkaitan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu.

 

Sambil menyambut baik arahan Najib itu, Muhyiddin berkata, oleh kerana dakwaan terhadap 1MDB melibatkan urusniaga korporat yang agak kompleks serta menyentuh kepentingan negara dan kerajaan, Ketua Audit Negara mestilah diberikan sokongan sumber, kepakaran dan tempoh masa yang tidak terlalu lama untuk menyiapkan satu laporan lengkap dan komprehensif.

 

Katanya, pada masa yang sama Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara juga boleh memulakan siasatannya sendiri tanpa perlu menunggu Laporan Ketua Audit Negara siap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.