Video: Saya Public Figure – Dr Maza

Kuala Lumpur – Kemelut yang melanda dua tokoh agamawan antara Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias semakin meruncing apabila para penyokong kedua-dua belah pihak campur tangan dan mula menyerang antara satu sama lain.

 

Ia dipercayai bertujuan untuk memastikan ikon kesayangan mereka tidak dipersalahkan dalam isu ‘sebar hadis palsu berkaitan roti jala’ yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

 

Terbaru video pendek mengenai Asri yang sinonim dengan panggil Dr Maza mula disebarkan sejak petang tadi melalu aplikasi whatsapp, telegram dan media-media sosial.

 

Di dalam rakaman berdurasi 0:13 saat itu, Dr Maza dilihat mengeluarkan kenyataan ‘Saya Public Figure dan saya ada urusan saya yang lain’ bagi mengambarkan beliau sebagai orang yang berlagak.

 

 

Namun hasil penelitian yang dilakukan oleh SuaraTV itu, video tersebut adalah merupakan rakaman lama yang telah dimuatnaik pada enam tahun yang lalu.

 

Rakaman tersebut diambil ketika Dr Asri dan para penyokong berkumpul di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi menunggu dakwaan yang akan dikemukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di Taman Sri Ukay, Ampang.

 

Sementara itu mereka yang dipercayai penyokong kepada Dr Maza mula menyebarkan rakaman video dan ‘printscreen’ berkaitan Ustaz Kazim bagi mengambarkan kononnya beliau memang sengaja mengeluarkan hadis palsu dan bukannya memberikan perumpaan seperti yang didakwa sebelum ini.

 

 

Rata-rata menyifatkan serangan berterusan antara penyokong kedua-dua kumpulan ini akan menyebabkan imej Islam tercalar dan menyebabkan masyarakat terkeliru.

 

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya meminta kedua tokoh agama ini agar segera menghentikan perbalahan dan menyelesaikan permasalahan mereka dengan lebih berwibawa tanpa membabitkan media.

 

Menurutnya pertelingkahan yang berlaku bukan jalan penyelesaian terbaik, malah ia merugikan dakwah dan mencetuskan perbalahan.

 

“Sekiranya keadaan ini berterusan, fenomena taksub kepada aliran pemikiran tertentu bakal menjadi hujah kerana ia bukan lagi merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah yang sesuai dengan petunjuk salaful ummah. Alangkah baiknya jika ada pertemuan empat mata sebelum sebarang surat dikeluarkan.

 

“Saya sendiri lebih selesa jika teguran diberikan secara langsung kepada saya. Sudah pasti kemanisan ukhuwah terasa. Apatah lagi mereka merupakan tokoh agama yang sangat popular. Impaknya tentu lebih besar,” katanya dalam posting terbaru di laman facebook miliknya hari ini.

Fathul Bari berkata, di kalangan yang ingin menegur biarlah mengkaji, memeriksa juga bertanya terlebih dahulu. Demikian juga, bagi yang mendengar teguran yang diharap dapat menerima dengan hati terbuka sekiranya teguran tersebut membina.

 

Dalam pada itu, beliau juga membidas sikap pihak yang menyebarkan surat rasmi tersebut.

 

“Bagi yang terawal menyebar surat tersebut, kalian adalah batu api perpecahan. Alangkah baiknya kalian menjadi pendamai antara dua tokoh agama yang berselisih. Bukan pencetus kepada perbalahan yang tiada berkesudahan ini,” ujarnya.

 

Ustaz Kazim Elias semalam dalam satu sidang media melahirkan rasa terkilannya berhubung kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menuduhnya terlibat dengan pembacaan hadis palsu.

 

Menurutnya, isu yang dibangkitkan oleh Mufti Perlis sebenarnya tidak menjejaskan akidah dan tidak sepatutnya dijadikan isu berbanding kenyataan yang lebih keras yang dibuat oleh musuh Islam tentang Nabi Muhammad S.A.W.

 

Beliau membuat kenyataan ini sebagai menjawab isu penyebaran surat Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju beliau dijemput sebagai ahli panel sebuah forum sempena Hari Keputeraan DYMM Raja Perlis yang disebarkan pihak tertentu di luar pengetahuan Dr Asri, pada 3 Mac lalu.

 

Dalam surat yang dihantar kepada Pegawai Kanan di Pejabat Menteri Besar Perlis, Asri memaklumkan ketidaksetujuannya atas alasan Ustaz Kazim terlibat dengan pembacaan hadis palsu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.