Van Der Garde Ambil Tindakan Terhadap Sauber

Kuala Lumpur – Pelumba Belanda, Giedo van der Garde mengambil tindakan undang-undang terhadap pasukan Sauber, menjelang perlumbaan Grand Prix Formula One 2015, yang bakal membuka tirai di Australia minggu depan, kerana mendakwa beliau dipecat secara tidak adil.

 

Media Australia pada Khamis melaporkan, Van der Garde yang menjadi pemandu simpanan pasukan Switzerland itu, musim lalu, mendakwa Sauber tidak menepati janji untuk melantiknya sebagai pelumba rasmi pasukan itu, bagi musim 2015.

 

Menurut laporan, pemandu berusia 29 tahun itu telah memohon untuk pendengaran segera kesnya di Mahkamah Agung Victoria, pada Isnin ini.

 

Latihan pertama pembuka musim 2015, bermula Jumaat depan di Melbourne.

 

Van der Garde mendakwa, tawaran itu dibuat pada Jun 2014, namun pemilik pasukan berkenaan bertindak memungkiri janji itu.

 

Sauber sebaliknya memilih Marcus Ericsson dari Sweden serta Felipe Nasr dari Brazil sebagai pemandu mereka, manakala Raffaele Marciello dari Itali sebagai pemandu simpanan.

 

Sauber bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung dakwaan Van der Garde itu.

 

Van der Garde yang menjadi pelumba pasukan Caterham, pada 2013, telah mengemukakan kes itu kepada Institusi Timbang Tara di Switzerland yang memutuskan, Sauber perlu mengekalkan Van der Garde sebagai pemandu pasukan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.