Unit Tapis Hadis Tangani Fahaman Ekstremis

IPOH – Satu unit penapisan hadis palsu akan ditubuhkan dalam menangani fahaman ekstremis disebarkan melalui hadis-hadis palsu.

 

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, unit yang bakal ditubuhkan itu bertanggungjawab memerangi kumpulan anti hadis dengan menapis penerbitan hadis palsu dalam majalah, buku agama, ucapan.

 

Menurutnya, tugas dan peranan unit itu adalah sama seperti dilakukan Lajnah Tashih al-Quran yang bertanggungjawab menjaga kesucian kitab tersebut.

 

Walau bagaimanapun, beliau mengakui unit penapisan hadis palsu itu berdepan tugasan lebih sukar jika dibandingkan Lajnah Tashih al-Quran memandangkan tiada hufaz hadis yang menghafal ratusan ribu hadis.

 

“Bagi al-Quran, alhamdulillah, kita telah lakukan kerana ada berpuluh-puluh ribu hufaz di Malaysia, namun tiada hufaz bagi hadis walaupun seseorang itu mempunyai doktor falsafah dalam bidang hadis,” katanya pada sidang media selepas Seminar Kaderasi Dakwah Pemantapan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah peringkat Negeri Perak, semalam.

 

Beliau berkata, hadis palsu ini banyak digunakan golongan yang mengajarkan tarekat yang kini digunakan ramai orang sebagai jalan pintas untuk mencari Tuhan.

 

Harussani berkata, sekitar tahun 70-an hampir 85 kumpulan tarekat terdapat di negara ini, namun dapat dikekang bagaimanapun keadaan itu kembali semula pada hari ini.

 

“Ada di kalangan tok guru ini, mendakwa boleh berinteraksi dengan malaikat, Rasulullah dan tuhan untuk memberi keampunan kepada orang ramai.

 

“Amalan ini membuat syirik kepada ALLAH dengan rukuk kepada manusia dan sujud kepada tok guru. Perbuatan ini adalah haram, malah ajaran tersebut menyeleweng dari akidah sebenar,” katanya.

 

Menurutnya, kebanyakan guru tarekat sedia ada bukan guru tarekat sebenar kerana tiada pengetahuan mendalam mengenai syariat selain memperkatakan sesuatu secara sesuka hati tanpa asas kukuh.

 

“Situasi kita sekarang susah sebab yang masuk tarekat orang-orang terkenal, hebat, kaya, berkedudukan apabila kita sekat ada sahaja jalan yang mempertahankan mereka,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.