Tindakan Tegas Terhadap Pelatih Yang Sertai Perhimpunan Haram

Maran – Kementerian Sumber Manusia akan mengambil tindakan tegas terhadap pelatih atau kakitangan 32 pusat latihan di bawah kementerian itu yang didapati menyertai perhimpunan haram #Kitalawan, di ibu negara, esok.

 

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, kementerian tidak akan bertolak ansur dan mereka perlu bertanggungjawab terhadap perbuatan sendiri.

 

“Jadi, jangan marah jika dikenakan tindakan…sebab itu, jangan mudah terpengaruh dengan perkara yang boleh merugikan masa depan, seperti (menyertai) demonstrasi (haram) ini,” katanya selepas melawat Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang, di Bandar Tun Abdul Razak, hari ini.

 

Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas perhimpunan #Kitalawan yang dijadualkan berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo, di Kuala Lumpur, esok.

 

Tujuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan perhimpunan itu, untuk menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

 

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara lima tahun, bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008.

 

Pada 27 Februari lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan mengikut lunas undang-undang untuk menganjurkan perhimpunan itu.

 

Dalam ucapannya, Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran menasihatkan pelajar mengambil peluang dan menjadi sebahagian daripada sasaran kerajaan untuk melahirkan 50 peratus tenaga kerja mahir, pada 2020.

 

Katanya, pelajar di negara ini bertuah, kerana kerajaan sentiasa menyediakan kemudahan infrastruktur dan pembiayaan pendidikan, bagi memastikan mereka boleh belajar dalam keadaan selesa dan tenang.

 

“Ini amat berbeza, jika dibandingkan dengan kami generasi terdahulu, saya sendiri pernah melalui kesusahan, apabila rumah tidak mempunyai bekalan elektik dan air, menyebabkan perlu berjalan sejauh satu kilometer untuk mandi di Sungai Pahang.

 

“Hujung minggu pula perlu menoreh getah, bagi menampung belanja sekolah. Itu antara kesusahan yang dilalui dan Alhamdulillah masih tetap boleh berjaya seperti orang lain.

“Jadi, tidak ada sebab untuk generasi masa kini tidak berjaya,” katanya.

 

Ismail turut mengumumkan sumbangan RM10,000 bagi membaik pulih pendingin hawa di bengkel kolej itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.