Tidak Timbul Soal PM Hilang Sokongan – Syed Ali

Kuala Lumpur – Perjumpaan Ketua-ketua Bahagian UMNO bersama Datuk Seri Najib Tun Razak bukan bertujuan untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan menangani perpecahan dalam parti.

 

Penganjur perjumpaan itu, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang juga Ketua Bahagian UMNO Cheras berkata, tidak timbul soal Najib semakin hilang sokongan, kerana program berkenaan telah dijadualkan untuk diadakan dua kali setahun.

 

“Sesetengah media hanya pandai buat spekulasi untuk memberi gambaran buruk terhadap UMNO dan pimpinan Datuk Seri Najib.

 

“Bukan semua Ketua Bahagian UMNO mempunyai jawatan dan bukan semua Menteri atau Timbalan Menteri berjawatan Ketua Bahagian UMNO.

 

“Jadi, ini merupakan platform khas untuk semua Ketua Bahagian dan orang lain tidak boleh sertai, termasuk Menteri,” tegasnya ketika dihubungi The Rakyat Post.

 

Jelasnya, perjumpaan itu diadakan secara santai dan semua Ketua Bahagian akan mendengar ucapan Presiden UMNO.

 

“Jika ada kemusykilan, Ketua Bahagian akan tanya untuk dapat penjelasan lebih lanjut,” ujarnya.

 

Perjumpaan Ketua-ketua Bahagian UMNO yang dijadualkan pada Ahad ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung kedudukan Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

 

Timbul tanggapan bahawa wujud perpecahan dalam UMNO sehingga perlu dibuat perhimpunan untuk menunjukkan solidariti kepada Najib. – The Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.