Sahkan Akaun 1MDB Bukti Kerajaan Telus

KUALA LUMPUR – Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan supaya Laporan Ketua Audit Negara terhadap akaun 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk pemeriksaan adalah bukti amalan pentadbiran kerajaan yang telus dan bertanggungjawab.

 

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah tersebut memberi peluang kepada setiap ahli PAC yang terdiri daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang untuk melihat operasi 1MDB selepas banyak tuduhan liar dibuat ke atas badan pelaburan itu sebelum ini.

 

“Ini adalah bukti kerajaan sangat serius kerana langkah berkenaan menunjukkan kerajaan bertanggungjawab untuk menjawab isu-isu berhubung 1MDB dan menutup semua tuduhan liar daripada pembangkang.

 

“Di dalam PAC, ada pemimpin BN dan ada juga pembangkang, tidak ada apa-apa untuk disembunyikan jadi ini lebih telus kerana jika ada sesuatu yang luar biasa akan dibawa ke Dewan Rakyat,” katanya.

 

Beliau yang juga ahli PAC berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Amanah Raya Berhad (ARB) dan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) berhubung pentadbiran harta pusaka di sini hari ini.

 

Yang turut hadir Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil; Pengarah Urusan Kumpulan ARB, Datuk Abdul Rahman Md. Khalid dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim.

 

Reezal Merican berkata demikian sebagai mengulas arahan Perdana Menteri semalam yang meminta Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB sebelum diserahkan kepada PAC untuk pemeriksaan telus dan bersifat bipartisan.

 

Arahan tersebut dikeluarkan Najib selepas memanggil juruaudit 1MDB, Deloitte menghadap Kabinet berikutan pelbagai laporan media berkaitan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.