Ribuan Terkandas, Gara-Gara Lapangan Terbang Nepal Ditutup

Katmandu – Ribuan penumpang terkandas, susulan pembatalan semua penerbangan dari dan ke satu-satunya lapangan terbang antarabangsa di Nepal yang terpaksa ditutup buat hari kedua berturut-turut, pada Khamis.

 

Ia disebabkan sebahagian daripada landasan tunggal di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, di Kathmandu itu disekat, selepas sebuah pesawat Turkish Airlines tergelincir dari permukaan licin, pada pagi Rabu.

 

Pegawai lapangan terbang itu memaklumkan, kemudahan itu terpaksa ditutup sehingga pagi Jumaat, tatkala petugas berusaha mengalihkan Airbus 330 itu dari landasan berkenaan.

 

Lapangan terbang antarabangsa lain yang paling dekat terletak di negara jirannya, India dan perjalanan ke sana mengambil masa beberapa hari, melalui jalan darat.

 

Landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan licin, selepas hujan selama dua hari dan kabus tebal, ketika pesawat Turkish Airlines tergelincir ke padang rumput, selepas mendarat.

 

Susulan itu, bahagian depan Airbus 330 itu mengalami sedikit kerosakan, namun tiada penumpang mahupun anak kapal yang dilaporkan mengalami kecederaan serius.

 

Nepal telah meminta bantuan India, dengan menghantar sebuah pesawat Tentera Udara India menerbangkan peralatan dan kru ke Kathmandu, pada Khamis, untuk mengalihkan Airbus 330 itu.

 

Mac adalah permulaan musim pelancongan, dengan ribuan warga asing akan pergi ke Nepal untuk menawan puncak Gunung Himalaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.