Polis Ambil Keterangan Wakil Rakyat DAP

Georgetown – Polis hari ini merekod keterangan Ahli Parlimen Tanjong daripada DAP, Ng Wei Aik berhubung kenyataannya dalam sebuah akhbar berbahasa Cina yang didakwa berunsur hasutan.

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1)(6) Akta Hasutan 1948.

 

“Kami rekod keterangan beliau untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

 

Terdahulu, Ng dilihat memberi keterangan selama hampir dua jam, bermula jam 4.05 petang kepada pegawai penyiasat, ditemani peguam, Ramkarpal Singh Deo di pusat khidmatnya, di Jalan Anson.

 

Pada 16 Februari lalu, Timbalan Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Ang Chor Keong membuat laporan polis berhubung artikel Ng yang disiarkan akhbar Kwong Wah Yit Poh, mengenai keputusan kes Liwat II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menghukum Anwar lima tahun penjara.

 

Mengulas mengenai artikel bertajuk ‘Kebangkitan Reformasi’ itu, Ng pada sidang media selepas memberi keterangan kepada polis berkata, ia adalah pendapat peribadinya dan mempunyai keyakinan terhadap demokrasi berparlimen dan percaya perubahan boleh dilakukan menerusi peti undi.

 

“Saya bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dan turut ditanya adakah saya terlibat dalam gerakan reformasi, ketika menjadi pelajar di Universiti Malaya, pada 1998. Saya bukan terlibat secara langsung, tetapi menyaksikannya,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan berasingan berkata, kerajaan negeri akan membela nasib Ng, kerana itu adalah satu penganiayaan politik terhadap seorang wakil rakyat.

 

“Kerajaan negeri akan membela Ng dan sekiranya perlu, kami akan sediakan bantuan guaman,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.