PM Pengerusi Mesyuarat Pertama Majlis Eksport Negara

Putrajaya – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Eksport Negara (NEC) yang menyasarkan untuk menjadi pemangkin bagi menggerakkan eksport Malaysia.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, NEC bermatlamat untuk meningkatkan eksport menerusi kemudahan yang lebih baik, termasuk meningkatkan proses, prosedur, kawal aturan dan dokumentasi untuk eksport, infrastruktur, syarat pensijilan dan logistik.

 

“Kerajaan menyediakan pelan tindakan yang menyeluruh bagi meningkatkan eksport negara ketika pasaran global berhadapan cabaran,” kata kenyataan itu.

 

Ia berkata, pelan tindakan itu yang dibangunkan oleh NEC meliputi inisiatif yang akan menangani jurang dalam ekosistem eksport, meluaskan akses pasaran untuk pengeksport menerusi penghubung pasaran, pakar industri dan program promosi khusus.

 

Tindakan strategik ini akan dijajarkan dengan sektor sasaran lain dalam Rancangan Malaysia ke-11 dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

 

Antara yang menghadiri mesyuarat itu ialah Ketua setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar.

 

NEC ditubuhkan akhir tahun lepas bagi memberi tumpuan ke atas tiga aspek utama – rangkaian eksport, logistik dan pengeluaran.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.