Pesawat Pejuang Turki Terhempas, Dua Maut

Ankara – Dua juruterbang terbunuh, apabila sebuah pesawat pejuang Turki terhempas di Bandar Konya, pada Khamis.

 

Ini adalah nahas udara kedua membabitkan tentera Turki dalam tempoh kurang dua minggu.

 

Pesawat F-4E 2020 itu berlepas dari Pangkalan Udara Eskisehir, untuk menjalani latihan penerbangan, pada jam 9 pagi tadi (waktu tempatan), sebelum terhempas hampir sejam kemudian.

 

“Ia terhempas di Konya, punca tidak diketahui. Dua juruterbang maut. Siasatan punca nahas itu telah dimulakan,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Ketua Turus Tentera Udara Turki, pada Khamis.

 

Sementara itu, Gabenor Konya, Muammer Erol berkata, bangkai pesawat itu ditemui di sekitar kawasan penempatan Ortakonak, tengah Daerah Karatay.

 

Inkuiri sedang dijalankan untuk menyiasat punca dua pesawat latihan terhempas di Wilayah Malatya, pada 24 Februari lalu yang meragut empat nyawa.

 

Turki memiliki pasukan tentera kedua terbesar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan pasukan tentera udaranya memainkan peranan aktif dalam meronda sempadan Syria dan Iraq.

 

Namun, Ankara sehingga kini enggan mengambil peranan secara langsung dalam operasi pengeboman ke atas Negara Islam yang diketuai Amerika Syarikat, dengan alasan bimbang terhadap faktor keselamatan dan tidak bersetuju dengan strategi serangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.