PAS Tidak Akan Sertai Himpunan Kita Lawan

Kuala Lumpur – PAS hari ini menafikan telah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengarahkan ahli dan penyokongnya menyertai Himpunan #kitalawan esok.

 

Penafian tersebut dilakukan berikutan satu kenyataan  yang menggunakan nama Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang dikesan penyebarannya melalui mesej Whatsapp dan facebook sejak pagi tadi.

 

Menurut Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar yang dihubungi SuaraTV sebentar tadi kenyataan akhbar tersebut adalah palsu.

 

“Sehingga kini tiada kenyataan akhbar yang telah dikeluarkan oleh Tuan Guru Presiden.

 

“Presiden akan mengeluarkan kenyataan mengenainya sebentar lagi,” ujarnya.

Surat Palsu Presiden PAS - Himpunan KitaLawan

Shamsuri turut mengesahkan sehingga kini tiada sebarangan arahan yang dikeluarkan untuk ahli PAS menyertai perhimpunan esok.

 

Dalam kenyataan media yang disahkan palsu itu Hadi didakwa menyeru seluruh kepimpinan dan ahli PAS supaya turun berjihad seiring dengan PKR dan DAP sebagai tanda solidariti kepada Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.

 

Ia turut menyebut kononnya PAS sebagai pertubuhan politik bermatlamat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berterusan mendukung kezaliman dan kemungkaran.

 

Sementara itu pihak polis pada 27 Februari lalu, berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan mengikut lunas undang-undang untuk menganjurkan perhimpunan itu.dalam satu kenyataan sebelum ini memberi amaran akan menangkap peserta perhimpunan haram itu yang akan diadakan pada Sabtu ini di perkarangan Kompleks Membeli Belah Sogo.

 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah menegaskan, perhimpunan yang dianjurkan itu tidak mengikut lunas undang-undang.

 

Pada 15 Februari lalu, pada satu sidang media himpunan #KitaLawan, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, gerakan itu mengemukakan empat tuntutan termasuk agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan dengan segera kerana didakwa terlibat dalam konspirasi politik perbicaraan kes Anwar.

 

Selain itu, mereka juga sedia menggembleng semangat dan anak muda Malaysia terus berjuang sehingga kerajaan Umno-BN tumbang, serta menuntut reformasi sistem kehakiman negara bagi menjamin kebebasan dan kewibawaan institusi kehakiman.

 

Manakala resolusi keempat mereka ialah menggesa semua pemimpin Pakatan Rakyat yang berjawatan dan yang mendapat mandat pada pilihan raya umum ke-13 lalu agar turut menyertai Himpunan Rakyat yang dijadualkan bulan depan.

 

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara lima tahun, bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.