MAS Pasang Sistem Penjejakan Pesawat

Putrajaya – Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) telah memperkenalkan sistem muat turun data penerbangan setiap 15 minit, bagi penjejakan pesawatnya mengikut masa nyata.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau telah mengarahkan MAS memasang sistem penjejakan pesawat itu, sebagai langkah meningkatkan keselamatan pesawat, kerana Malaysia merupakan penyokong kuat penggunaan sistem penjejakan masa nyata itu, susulan insiden kehilangan pesawat MAS penerbangan MH370, setahun lalu.

 

“(Muat turun data) setiap 15 minit, amat hampir dengan masa nyata. Bagi pesawat dan industri penerbangan, muat turun isyarat dan pemprosesan data setiap 15 minit adalah amat penting,” katanya pada taklimat media hari ini, sempena genap setahun insiden MH370 hilang.

 

Penerbangan MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang itu, hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, selepas kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL, pada 8 Mac 2014.

 

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi hari sama.

 

Liow berkata, Malaysia ketika ini bekerjasama dengan Australia, bagi penggunaan sistem penjejakan pesawat itu dan menyambut baik usaha Australia untuk menambah baik sistem itu.

 

Malaysia, katanya, telah mencadangkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam mesyuarat majlis pertubuhan itu di Montreal, Kanada, Oktober lalu, supaya mengkaji pemasangan sistem penjejakan penerbangan masa nyata, pada semua pesawat komersial antarabangsa.

 

“ICAO mengambil perhatian serius cadangan itu dan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menganalisis cadangan itu dan akan mengumumkan keputusan mereka menjelang 31 Ogos.

 

“Terdapat syarat tertentu bagi penggunaan sistem penjejakan masa nyata ini,” kata Liow.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.