Lelaki Parah Ditetak Di Georgetown

Georgetown – Seorang lelaki parah ditetak dalam pergaduhan di hadapan sebuah pusat hiburan, di Pengkalan Weld, awal hari ini.

 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa dilihat berbual dengan sekumpulan lima hingga tujuh orang, sebelum seorang daripada mereka mengeluarkan parang dan menyerangnya.

 

“Ketika itu, dua rakan mangsa yang turut berada di tempat kejadian cuba membantu, tetapi leher mereka diacu parang, selain diugut akan dipancung,” katanya ketika ditemui pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi, di Komtar, hari ini.

 

Beliau berkata, akibat kejadian itu, lelaki berusia 33 tahun itu cedera di beberapa bahagian badan, tangan serta kepala dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

 

Siasatan awal mendapati, mangsa mengenali empat daripada kumpulan lelaki yang menyerangnya dan motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.

 

“Keadaan mangsa kini stabil dan polis telah mengenal pasti suspek terlibat dan percaya dapat memberkas mereka dalam tempoh terdekat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.