Kod Etika Pakaian Pelancong Bakal Beri Impak Negatif

Kuala Terengganu – Cadangan memperkenalkan kod etika berpakaian atau menguatkuasakan undang-undang sedia ada kepada pelancong asing di Terengganu, dilihat akan memberi impak negatif dan merugikan industri pelancongan.

 

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafee yang dipetik menerusi laman web kerajaan negeri www.teganukita.com berkata, kerajaan negeri itu akan mengeluarkan garis panduan etika berpakaian untuk diedarkan kepada pelancong asing, terutamanya wanita.

 

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman yang memaklumkan, tiada sebarang perancangan mahupun perbincangan mengenai perkara itu diadakan pihaknya.

 

Bagi mendapatkan reaksi berhubung isu itu, The Rakyat Post menemui pengusaha pusat peranginan di salah sebuah pulau terkenal di negeri berkenaan, iaitu Pulau Kapas.

 

Kesemua mereka sepakat bahawa sebarang pelaksanaan yang melibatkan larangan, khasnya ke atas pelancong asing akan merugikan Terengganu.

 

Menurut pemilik chalet KBC, Kayan Ratnam, 43, Terengganu mempunyai pulau-pulau cantik yang dicemburui negeri-negeri lain dan sekiranya larangan seperti itu dilaksanakan, ia hanya menguntungkan negeri-negeri berkenaan.

 

Menurutnya, 50 peratus daripada pelancong yang mengunjungi Pulau Kapas terdiri daripada warga Eropah dan Amerika Selatan.

 

Katanya, mereka tidak biasa menutup badan mereka sepenuhnya di negara beriklim panas seperti Malaysia dan apa yang penting, negeri berkenaan akan hilang tarikannya, dengan adanya larangan seperti itu.

 

“Sekiranya larangan berkenaan wujud, mungkin pelancong akan beralih arah ke tempat lain. Tidak susah untuk mereka memilih, sama ada pergi ke Indonesia dan Thailand atau ke negeri lain di Malaysia.

 

“Mungkin Pulau Tioman akan menjadi tumpuan pelancong atau lebih buruk lagi, mereka memilih pergi ke negara jiran,” katanya.

 

Sementara itu, pemilik chalet Ombak Kapas Beach Resort, Hamie Azreen Aminordin, 37 turut senada dengan Kayan yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan larangan dan penguatkuasaan berkenaan.

 

Jelasnya, larangan berkenaan akan menjejaskan perniagaannya, kerana pulau berkenaan telah sebati dengan kebanyakan pelancong asing dan hubungan erat dengan mereka telah terjalin.

 

“Larangan berkenaan mungkin memberi imej buruk kepada Malaysia secara keseluruhannya, kerana mereka tidak tahu membezakan negeri-negeri yang ada di negara ini.

 

“Kerajaan juga perlu sedar bahawa budaya antara penduduk tempatan dan pelancong asing cukup berbeza, yang mana mereka sudah biasa memakai bikini sewaktu berjemur.

 

“Sudah pasti sekiranya larangan seperti itu wujud pada masa depan, mereka mungkin akan pertimbang semula untuk datang ke Terengganu,” tegasnya. – Rakyatpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.