#KitaLawan: Terpekik, Terlolong, Amankah Begitu?

Oleh: Ain Asyiqin

 

Seruan demi seruan

 

Jom, ramai-ramai kita ke Sogo esok dan lusa! (Sabtu dan Ahad ini)

 

Ini adalah “ajakan” tidak ikhlas saya, ia bukanlah daripada penganjur perhimpunan #Kitalawan, Angkatan Muda Keadilan PKR.

 

Esok, masuk minggu keempat berturut-turut, Perhimpunan #KitaLawan dianjurkan pada setiap Sabtu di pusat beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di tengah-tengah Kuala Lumpur.

 

Namun, setiap perhimpunan yang lalu nyata hambar, tidak ramai yang menyertainya. Setiap kali, nampaknya tidak lebih 100 orang saja pesertanya.

 

Walaupun begitu, kehadiran kumpulan tersebut nyata menganggu keselesaan para peniaga serta pengunjung ke sekitar kawasan berkenaan.

 

Seruan demi seruan oleh pihak penganjur kerap kita baca dan dengar melalui pelbagai media sejak kebelakangan ini, memanggil para penyokong Anwar Ibrahim agar beramai-ramai menyertai perhimpunan #KitaLawan di kompleks beli-belah Sogo pada setiap hujung minggu.

 

Seruan sama diuar-uarkan apabila Ketua Pembangkang itu dibenarkan “keluar” untuk memberi keterangan berhubung saman fitnah yang difailkan terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seminggu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan liwat ke atasnya dan memenjarakannya.

 

Kesempatan keluar sebentar itu digunakan untuk menyeru “penyokong” berkumpul, jadi tidak hairan jika PKR bersungguh-sungguh mahukan Anwar diizin menghadirkan diri ke Parlimen atau minum the bersama Yang di-Pertuan Agong. Jika diberi “pelepasan” pastinya, penyokong akan dfiminta berkumpul lagi. Atau, entah apa lagi agenda yang menunggu.

 

 

#KitaLawan hambar

 

Malangnya, perhimpunan demi perhimpunan, tetapi tak ramai yang sertainya. Minggu pertama pada 14 Februari, dilaporkan hanya kira-kira 80 orang peserta. Selebihnya terdiri daripada orang awam dan warga asing yang mengunjungi pusat beli-belah itu sempena cuti hujung minggu.

 

Ketika di Mahkamah Tinggi pada 17 Februari pula, hanya kira-kira 30 orang dan pada kedua-dua Sabtu kemudiannya pun hanya kira-kira 50 orang. Malah, mengikut sesetengah laporan, suasana nampak ramai kerana kawasan tersebut memang dipenuhi orang ramai yang bukanpun peserta himpunan.

 

Bagaimanapun, akhbar atau portal pro-pembangkang sentiasa menggembar-gemburkan bahawa perhimpunan itu disertai ratusan penyokong. Lihat sajalah foto-foto yang disiarkan, adakah kelihatan seperti ratusan peserta?

 

Pastinya pihak penganjur kecewa dengan sambutan dingin pada perhimpunan-perhimpunan itu? Justeru itu mereka terus menyeru kehadiran penyokong untuk berkumpul pada 7 dan 8 Mac ini (Sabtu dan Ahad).

 

Agaknya, pihak penganjur himpunan mengharapkan sambutan sepertimana? Adakah seperti ketika himpunan Bersih atau Reformasi dulu?

 

“Himpunan #KitaLawan”, itukah namanya? Kurang pasti saya sebab ada ketikanya mereka yang berkenaan menyebutnya sebagai himpunan Solidariti, ada pula ketika disebut sebagai himpunan Reformasi…apapun namanya, pada pengamatan saya, ia adalah himpunan untuk kepentingan Ketua Pembangkang dan keluarganya itu.

 

 

Terpekik terlolong

 

Keadilan, kekejaman dan macam-macam alasan yang dituntut, yang kononnya untuk kepentingan rakyat, benarkah untuk rakyat?

 

Siapa yang tidak adil dan siapa yang kejam?

 

Adilkah apabila berhimpun di pusat beli-belah itu, sehinggakan menganggu keselesaan golongan yang mencari rezeki di situ? Adilkah, menjadikan kaki lima Sogo yang menjadi tempat “orang kecil” mencari rezeki dan tempat orang ramai bersantai melepak itu tidak selesa lagi?

 

Jika sekalipun tidak mahu mendengar nasihat polis, nak tunjukkan kedegilan dan terus berhimpun di Sogo, fikirkanlah luahan dan rungutan para peniaga yang mencari rezeki di situ. Rezeki mereka terjejas dengan kehadiran “geng” Anwar, orang ramai tidak selesa, malah ada yang takut untuk ke sana.

 

Walaupun dikatakan perhimpunan aman, aman yang bagaimanakah maksudnya jika ada saja kekecohan berlaku bila berkumpul? Amankah bila ada yang terpekik terlolong serta “bergendang” ketika berhimpun di situ?

 

Walaupun pihak polis telah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram itu esok, pihak penganjur tetap berkeras mahu meneruskan rancangan mereka.

 

 

Sengaja pilih tempat sibuk

 

Mesej polis cukup jelas iaitu perhimpunan #Kita lawan tidak dibenarkan dianjurkan sama sekali di hadapan Sogo, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah baru-baru ini berkata, perhimpunan tersebut melanggar undang-undang dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan kerana ia bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

 

“Penganjur gagal menghantar notis untuk mengadakan perhimpunan seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 dan polis boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat kerana mengganggu ketenteraman awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi baru-baru ini.

 

Penganjur menolak syarat yang dikenakan pihak polis supaya mengadakan perhimpunan mereka di stadium, agar tidak menganggu ketenteraman dan keselesaan awam.

 

Nampaknya, “geng” #KitaLawan ini memang tidak pedulikan orang lain dan hanya mementingkan diri mereka, kehendak mereka dan perjuangan mereka yang entah apa tujuannya.

 

Mereka sengaja memilih tempat tumpuan ramai untuk berhimpun, bukankah itu menyusahkan orang lain? Selain Sogo, para pimpinan AMK juga dilaporkan akan berkumpul di Masjid Jamek, Pasar Seni dan Ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

 

AMK turut mempelawa seluruh rakyat Malaysia yang kata mereka, “cintakan keadilan, yang mahu menegakkan kebenaran, dan yang menginginkan masa depan yang lebih baik untuk Negara” supaya hadir di perhimpunan aman itu.

 

 

Sokongan taraf global?

 

Tidak cukup di Kuala Lumpur, himpunan seumpama itu juga dilapor akan diadakan di beberapa buah negara. Antara lokasi perhimpunan itu ialah Old Palace Yard, London – berdekatan dengan bangunan Parlimen United Kingdom; di depan Bangunan Parlimen Australia, di Canberra, di depan Parlimen South Australia, di Adelaide dan di Liberty Square di Taipei, Taiwan.

 

Apakah kerana sudah semakin kurang sambutan di dalam negara, seperti yang terbukti pada minggu-minggu lalu, maka perlu menganjurkannya di luar negara pula?

 

Jadi bolehlah kelak, mencanangkan kerana mendapat “sokongan luar” , himpunan merentasi sempadan dan himpunan taraf global, kononnya.

 

Tidak hairan jika mendapat sokongan masyarakat luar negara pun; jika mereka rakyat Malaysia pastinya mereka tidak tahu keadaan sebenar di negara ini dan hanya menyokong berlandaskan media sosial yang tidak pasti kesahihan berita yang disiarkan.

 

Jika yang menyokong itu pula bukan rakyat Malaysia, memang tidak memeranjatkan. Memang orang luar mahu melihat kehancuran Malaysia yang agama rasminya, Islam. Hakikatnya, bukan sedikit golongan yang mahu menghancurkan negara Islam di dunia ini.

 

Agaknya, sudah tidak ada perkara lebih berfaedah untuk dilakukan di rumah atau bersama-sama keluarga pada hujung minggu. Pergilah berhimpun, beraraklah semahunya…sakit demam, susah payah atau jika sesuatu berlaku ke atas anda, “Anwar dan PKR yang akan bantu!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.