Kes Denggi Meningkat Lebih 200 Peratus Di Pahang

Kuantan – Pahang mencatat peningkatan lebih 200 peratus kes demam denggi bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, iaitu 618 kes berbanding 201 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, dalam masa sama, dua kes kematian dilaporkan berlaku, iaitu masing-masing satu kes di Bentong dan Bera.

 

“Kuantan mencatatkan bilangan kes demam denggi tertinggi, dengan 427 kes, iaitu 69 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti Temerloh (76 kes), Jerantut (42), Maran (30), Bera (18) dan Raub (sembilan).

 

“Lipis (enam), Bentong (lima), Pekan (empat) dan Rompin (satu), manakala Cameron Highlands tiada sebarang kes,” katanya pada majlis mesra bersama media anjuran Jabatan Kesihatan Pahang, hari ini.

 

Ketika ini, katanya, masih ada enam kawasan wabak denggi yang aktif di Pahang, di mana lima daripadanya terkawal, manakala satu lagi lokaliti dikategorikan sebagai ‘hotspot’, iaitu di Taman Pasdec Jaya, Indera Mahkota 2, Kuantan yang telah mencatatkan lapan kes demam denggi dalam tempoh berkenaan.

 

Dr Zainal Ariffin berkata, Jabatan Kesihatan negeri telah mengeluarkan 129 kompaun, dengan nilai denda sebanyak RM64,500 dan 104 Notis Seksyen 8 turut dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan Aedes.

 

Bagi tempoh Januari hingga 21 Februari tahun ini juga katanya, sebanyak 225,854 premis telah dilakukan pengkabutan.

 

“Pemeriksaan pembiakan nyamuk Aedes turut dilakukan ke atas 58,113 premis, manakala 17,547 premis juga telah diletak abate bagi pemusnahan jentik-jentik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.