Kalau Penghuni Kubur ‘Penyamun’, Tetap Tidak Berguna – Fathul Bari

Kuala Lumpur – Ulama Muda UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahaya melalui laman Twitternya meluahkan rasa kurang senang dengan penyebaran sekeping gambar kubur berwarna merah jambu yang menjadi viral di media sosial.

 

Beliau menerusi akaun Twitternya berkata, ‘tawaran’ yang dibuat pengguna akaun Facebook itu, dilihat tidak kena dengan situasi sebenar.

 

Memberi contoh penyamun, Fathul Bari berkata, penghuni kubur itu tetap tidak berguna, meskipun kuburnya ditemani bacaan audio ayat suci al-Quran selama 24 jam.

 

“Sekiranya penghuni kubur ‘penyamun’, walau kuburnya ada audio baca al-Quran 24 jam sekalipun, tetap tidak berguna. Setiap insan bergantung pada amalnya,” katanya.

 

Ulasan itu dibuat, selepas ramai pengikut Twitternya twit kembali sekeping gambar yang menunjukkan kubur diubah suai yang menjadi viral di laman sosial.

 

Terdahulu, warga media sosial kecoh dengan penyebaran gambar kubur berwarna merah jambu berkenaan yang dimuat naik pengguna Facebook, Muntazir Nasrallah.

 

“Tempahan Dibuka! Luaran; warna ikut pilihan. Kalau nak mural Heri Poter pun boleh.

 

“Dalaman; sistem audio mp3 bacaan Quran 24 jam dengan sumber tenaga solar. (Waktu malam guna bateri yg telah dicas pada siang hari). Bacaan Yasin automatik setiap malam Jumaat. Bacaan tahlil automatik pada 7 hari pertama setiap malam, tahlilan automatik pada hari ke-40, hari ke-100 dan pada tarikh ulang tahun kematian.

 

“Optional: Speaker luar utk penziarah tumpang dengar. Jimatkan duit anda. Tak perlu upah orang baca Quran dan tahlilan. Tak perlu buat kendhuri. Jom berebut tempah! satu inovasi bid’ah hasanah,” tulis Muntazir di laman Facebooknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.