Himpunan Nyalaan Lilin, Berakhir Malam Ini – Tian Chua

Kuala Lumpur – Jika sebelum ini kumpulan yang berjaga malam di luar penjara Sungai Buloh mengisytiharkan akan menyalakan lilin setiap malam sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan, hari ini mereka mengumumkan ia akan dihentikan.

 

Kumpulan yang melahirkan solidariti kepada ketua umum PKR itu akan berjaga buat kali terakhir malam ini susulan arahan diterima daripada Anwar supaya mereka “move on” (meneruskan kehidupan).

 

Naib Presiden PKR, Chua Tian Chiang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua berkata, mereka membuat keputusan itu berdasarkan amanat daripada ketua pembangkang itu yang mahu gerakan melebarkan lagi solidaritinya.

 

Justeru, beliau berkata, selepas ini mereka akan memulakan program solidariti baru pada setiap malam ke-4.

 

“Jadi, kita terima arahan tersebut. Malam ini malam terakhir kita berkumpul menyalakan lilin di hadapan penjara. Selepas itu kita akan buat acara pada setiap malam ke-4.

 

“Lebih penting, kita tidak lagi berhimpun di penjara Sungai Buloh dan akan memulakan gerakan lebih besar menjejalah di seluruh negara,” katanya.

 

Tian Chua berkata, Anwar yang dihukum penjara selepas Mahkamah Persekutuan mensabitkannya bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, menghargai kehadiran mereka di depan penjara itu.

 

“Kehadiran kita dan nyalaan lilin itu tanda solidariti kepadanya. Ia membantu menaikkan semangat juangnya.

 

“Tetapi pada masa sama, beliau berkata, kesukaran itu lebih besar. Ia sebenarnya melangkaui di hadapan penjara Sungai Buloh. Beliau suruh kami ‘move on’,” katanya pada sidang media yang berlangsung di hadapan restoran Cumi di Petaling Jaya, Selangor.

 

Kumpulan itu mengadakan himpunan nyalaan lilin setiap malam di luar penjara Sungai Buloh sebagai membantah keputusan mahkamah pada 12 Februari terhadap ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

 

Tinjauan SuaraTv sebelum ini mendapati himpunan tersebut gagal mendapat sokongan seperti yang diharapkan berdasarkan sambutan penyokong yang hadir.

 

Setiap malam dianggarkan hanya sekitar 20-30 orag sahaja yang hadir dan sokongan tersebut semakin merosot.

 

PKR dalam satu kenyataan sebelum ini menyeru semua penyokong parti itu berkumpul di perkarangan Penjara Sungai Buloh setiap hari sehingga Anwar dibebaskan sebagai suntikan semangat untuknya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.