Haram Bina Monumen Peringatan MH370 – Mufti

Kuala Lumpur – Hukum membina monumen peringatan adalah haram, kerana Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan berunsur syirik dan menyerupai amalan jahiliah serta berlebih-lebihan dan membazir.

 

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung, sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.

 

“Tidak dinafikan, negara kita Malaysia telah mengalami banyak ujian dan kesengsaraan, seperti kemalangan MH370, MH17 dan banjir besar di Kelantan yang menjadi peristiwa hitam dan sejarah yang sukar dilupakan.

 

“Rentetan daripada peristiwa tersebut, mungkin sebagai memperingati, maka dicadangkan pembinaan monumen atau memorial.

 

“Sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran nama dan bentuk, selain daripada manusia dan haiwan, ia adalah diharuskan, selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan akidah, seperti unsur-unsur pemujaan dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak,” katanya dipetik di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

 

Jelas Zulkifli, perkara itu selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 hingga 23 April 2009, yang telah membincangkan Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera.

 

“Bagaimanapun, acara-acara seperti majlis peringatan, termasuk bacaan doa selamat, Yasin, tahlil dan sebagainya tidak boleh dilakukan di hadapan binaan peringatan tersebut dan hendaklah dilakukan di tempat berasingan, seperti masjid atau bangunan lain semasa meraikan hari perayaan yang berkaitan.

 

“Amalan atau perbuatan membina tugu telah diwarisi umat Islam daripada pihak penjajah. Amalan membina tanda peringatan, sekiranya dibiarkan tanpa kawalan dan panduan, akan berleluasa dan sukar dikawal pada masa akan datang.

 

“Satu garis panduan perlu disediakan, bagi memastikan hanya tanda peringatan yang tertentu sahaja dibenarkan, tanpa sebarang unsur-unsur pembaziran,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.