Guna POTA Kekang Ancaman IS

KOTA BHARU – Kementerian Dalam Negeri berharap Rang Undang-Undang Antikeganasan (POTA) yang dijadual dibentangkan bulan ini mendapat sokongan semua Ahli Parlimen bagi membolehkan akta baharu itu dilaksanakan secepat mungkin.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, POTA perlu disokong semua pihak kerana selain bukan untuk menggantikan mana-mana undang-undang sedia ada, akta itu penting bagi menangani ancaman keganasan terutama penularan agenda kumpulan militan Negara Islam (IS).

 

“Kita akan mengambil tindakan terhadap anggota IS menerusi POTA jika melibatkan rakyat Malaysia atau pun rakyat luar negara yang datang ke Malaysia. Oleh sebab itu saya mengharapkan POTA dapat dilaksanakan dalam tahun ini juga,“ katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Aspresiasi Petugas Pengurusan Banjir Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Pelancaran Skuad Ronda Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pertahanan Awam, Datuk Zaiton Ab. Samad; Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim serta Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, POTA bersifat pencegahan sesuatu keganasan daripada berlaku dan tidak boleh disamakan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

 

“Di bawah POTA, individu disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan boleh ditahan selama dua tahun dan tempoh penahanan itu boleh dilanjutkan di samping tiada had ditetapkan untuk penahanan setiap individu.

 

“Bagaimanapun, mereka yang disyaki terlibat dengan keganasan ini dan ditahan ‘tanpa bicara’ masih boleh mendapatkan keadilan kerana dibenarkan melantik peguam sendiri,“ katanya.

 

Tambah beliau, semalam, Kabinet telah mendengar pembentangan draf akta tersebut daripada Peguam Negara untuk dimuktamadkan selewat-lewatnya minggu depan sebelum beliau membentangkannya sendiri di Parlimen.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, pihak polis sedang meneliti kesahihan klip video memaparkan anggota kumpulan militan IS dipercayai rakyat Malaysia bersubahat memenggal kepala seorang tahanan di Syria.

 

“Pihak unit Anti Keganasan PDRM sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) untuk melakukan penelitian sepenuhnya terhadap video berkenaan. Jika disahkan rakyat Malaysia, pasti akan ada tindakan ke atas mereka,“ katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.