Geng Perompak Laut Tumpas

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin Wilayah Dua berjaya menumpaskan jenayah rentas sempadan membabitkan sindiket mencuri enjin, bot dan peralatan menangkap ikan dalam operasi yang dijalankan di perairan Benut, Pontian, awal pagi kelmarin.

 

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, hasil maklumat risikan dan perancangan operasi yang dijalankan pasukan khas Polis Marin sekitar jam 3.30 pagi berjaya memberkas empat suspek warga Indonesia.

 

Menurutnya, hasil penahanan lelaki berusia antara 30 hingga 33 tahun, anggota Polis Marin turut merampas empat unit enjin sangkut, tiga bot dipercayai dicuri dan peralatan lain seperti tiga parang, dua pemotong serta dua botol bom petrol.

 

“Sebaik sahaja menerima maklumat pergerakan sindiket berkenaan, pasukan khas Polis Marin telah membuat serbuan hendap di laut Selat Melaka dan berjaya mengesan bot suspek yang sedang menunda dua bot nelayan di Perairan Benut.

 

“Menyedari kehadiran polis, suspek telah meninggalkan bot yang dicuri dan cuba meloloskan diri, tetapi berjaya dipintas dan menahan bot berkenaan selepas 20 minit aksi dikejar,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

 

Khon Chiang berkata, pihaknya percaya terdapat lima lelaki berada dalam bot berkenaan, namun hanya empat berjaya ditahan manakala seorang lagi sempat meloloskan diri dengan terjun ke laut.

 

Menurutnya, pihaknya juga percaya berjaya menyelesaikan 18 kes kecurian enjin, bot dan peralatan bot nelayan yang berlaku di daerah Pontian sejak awal tahun ini hasil penahanan empat lelaki berkenaan.

 

“Kita juga sedang menyiasat sama ada bot yang digunakan keempat-empat suspek semasa melakukan jenayah berkenaan merupakan bot curi atau tidak.

 

“Kesemua suspek direman sehingga 18 Mac depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,  Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.