Dr Asri Sedih Dengan Cabaran Ustaz Kazim

Kuala Lumpur – Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan, tiada siapa ingin memalukan sesiapa, tetapi ia adalah hak penganjur untuk menentukan pemilihan panel, khusus untuk program membabitkan keberangkatan pihak Istana dan kehadiran mufti negeri.

 

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr. Maza menegaskan, surat tersebut adalah surat dalaman pentadbiran yang khusus untuk pihak dalaman berkaitan sahaja.

 

“Isu-isu riwayat palsu, termasuk isu roti jala telah timbul sejak tahun lepas. Banyak pandangan, terutama mereka yang terbabit dalam bidang hadis telah dilontarkan mengenai isi-isi ceramah pihak berkenaan.

 

“Maka, dalam pemilihan panel forum pihak jabatan, setelah berbincang melihat tidak sesuai untuk program itu, bukan mengeluarkan fatwa khas menghukum dan melarang sepenuhnya pihak terbabit,” katanya yang dipetik daripada laman Facebook miliknya.

 

Mohd Asri berkata, pihaknya telah menyampaikan salam kepada pihak berkenaan, melalui wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Zakaria yang merupakan pengerusi forum, sejak isu berkaitan roti jala timbul.

 

“Saya telah tegaskan, tiada isu peribadi dan bukan larangan mutlak. Pihak saya juga semalam mengelakkan sidang media dan enggan menjawab soalan wartawan tentang isu ini, untuk tidak mengeruhkan keadaan.

 

“Pihak saya dukacita, apabila pihak berkenaan membuat sidang media dan mencabar bukti. Bukan tiada bukti, tapi elokkah cabar-mencabar di media, sedangkan laluan perbincangan terbuka?

 

“Jika surat itu ditujukan kepada awam, mungkin boleh diterima rasional cabaran itu, tapi hal ini, hanya urusan pentadbiran dan bukan larangan mutlak,” katanya.

 

Mengulas lanjut mengenai contoh ‘roti jala’, Mohd Asri memberitahu, alangkah baiknya jika pihak berkenaan membetulkan hal itu, kerana jika tidak dibetulkan, ia boleh membawa anggapan ‘sunnah Nabi S.A.W. makan roti jala’.

 

“Adapun hentaman terbuka pihak berkenaan terhadap Tok Guru Nik Aziz (TGNA) rahimahullah dalam banyak video juga adalah salah dari segi fakta. Pendapat TGNA tentang Allah memilih Nabi S.A.W dari kalangan hambaNya yang didapati terbaik itu ada dalil yang sahih.

 

“Sementara hujah pihak berkenaan menolak TGNA atas alasan Nabi Muhammad lahir dalam keadaan sujud, berkhatan dan menyebut Alhamdulillah, riwayat-riwayat itu banyak pertikaiannya. Itu juga wajar diperbetulkan, jangan sampai orang menganggap pendapat TGNA dalam hal itu salah. Ketepikan isu politik dalam hal ini,” katanya.

 

Tambahnya, alangkah baiknya, jika pihak berkenaan hentikan perbalahan di media massa, kerana itu mendesak pihaknya yang terbabit dengan pentadbiran sebuah negeri menjawab secara terbuka.

 

“Alangkah baik, jika pada hari pertama surat itu diviralkan, pihak berkenaan tidak siarkannya dalam FB, sebaliknya hubungi saya dan tanya terlebih dahulu.

 

“Apapun, atas dasar ukhuwah dan dakwah, pintu pejabat dan jantung hati saya sentiasa terbuka untuk berbincang serta ‘minum dan tersenyum’,” katanya.

One thought on “Dr Asri Sedih Dengan Cabaran Ustaz Kazim

  • March 7, 2015 at 9:20 pm
    Permalink

    JELIK LA DENGAN KENYATAAN MAZA NI…DAH TERLEPASA CAKAP, BUAT2 RENDAH DIRI PULA…YANG PASTI AWAK MERENDAHKAN MARTABAT USTAZ KAZIM DENGAN TUDUHAN BERDASARKAN TWITTER AKAUN PALSUU

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.