Budak Mati Terkena Renjatan Elektrik

ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun tidak sempat menghadiri majlis anugerah cemerlang yang akan diadakan di sekolahnya selepas ditemui maut akibat terkena renjatan elektrik di rumahnya di Taman Puteri, Pokok Sena hari ini.

 

Mangsa, Mohd. Azmar Tahkim Mohd. Asri yang merupakan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Bukit Tembaga, Pokok Sena ditemui terbaring di bilik tidur rumahnya oleh ibunya, Sarinah Akob, 40-an kira-kira pukul 4.50 petang.

 

Difahamkan mangsa dipercayai cuba mengecas bateri motosikal milik abang sulungnya yang berusia 18 tahun dengan menggunakan kabel yang disambung pada soket elektrik dan berlaku litar pintas sehingga menyebabkan mangsa terpelanting.

 

Ibu dan abangnya yang ketika itu sedang tidur di rumah terdengar jeritan lalu mendapatkan mangsa di bilik tidurnya namun mangsa dipercayai telah meninggal dunia.

 

Seorang guru mangsa yang enggan dikenali berkata, majlis anugerah cemerlang itu akan diadakan pada minggu depan dan mangsa bakal menerima hadiah setelah berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Bahasa Arab.

 

“Mohd. Azmar Tahkim juga mendapat nombor tiga ketika peperiksaan akhir tahun ketika dia berada dalam darjah satu dan dia juga cemerlang dalam Bahasa Arab.

 

“Jika mengikut perancangan minggu depan, pihak sekolah akan mengadakan majils anugerah cemerlang namun nampaknya murid saya ini tidak sempat menghadirinya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

 

Difahamkan, mangsa yang me­rupakan anak keempat daripada lima beradik akan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Kampung Padang Serai, Pokok Sena malam ini.

 

Dalam pada itu, Timbalan Ke­tua Polis Daerah Kota Setar, Superin­tenden Rohana Omar mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.