Alat Bacaan Al-Quran Di Kuburan Mengarut

KUALA LUMPUR – Penjualan alat yang mengeluarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran bagi kegunaan di tanah-tanah perkuburan mendapat reaksi negatif daripada kalangan tokoh agama.

 

Dua mufti negeri berpendapat, alat bacaan surah Yasin serta tahlil automatik di perkuburan menggunakan tenaga solar itu menjurus kepada perbuatan yang tidak diga­lakkan dalam Islam.

 

Mufti-mufti tersebut menegaskan, sebaik-baik doa untuk ibu bapa yang sudah meninggal dunia adalah datangnya daripada anak-anak mereka sendiri terutama selepas selesai menunaikan solat.

 

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan alat seumpa­ma itu sebagai ‘mengarut’ serta bidaah dan meminta mereka yang menjalankan perniagaan tersebut di laman-laman sosial supaya menghentikan penjualannya.

 

“Orang ramai juga janganlah terpengaruh dengan alat-alat seumpama ini kerana amat jelas menjurus kepada amalan bidaah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Beliau mengulas penjualan alat ‘sistem audio Mp3 bacaan Quran 24 Jam’ di laman Facebook ketika ini yang boleh digunakan pada tujuh malam pertama, tahlil automatik pada hari ke-40 dan hari ke-100 selepas kematian serta pada tarikh ulang tahun kematian.

 

Pemilik akaun Facebook, Muntazir Masrallah yang mempromosikan alat tersebut menulis, dengan menggunakan alat tersebut, akan ‘menjimatkan duit, tidak perlu upah orang membaca al-Quran dan tahlil serta tidak perlu membuat kenduri’.

 

“Jom berebut tempah! Satu inovasi bid’ah hasanah,” katanya.

 

Dalam pada itu, Mufti Sela­ngor, Datuk Mohd. Tam­yes Abd. Wahid berpendapat, penjualan alatan seumpama itu dengan alasan untuk ‘menceriakan’ kubur si mati sebagai ‘tidak kena dalam Islam’.

 

Menurutnya, alat seperti itu juga tidak selaras dengan firman Allah iaitu: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

 

“Kalau hendak sandarkan doa kepada kaset atau rakaman, tambahan pula melibatkan kematian, memang ini tidak kena kepada Islam,” kata beliau. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.